IPOH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas dakwaan memiliki dan menggunakan pelbagai lambang, cop serta gelaran penganugerahan darjah kebesaran bintang dan pingat palsu, Mac lalu.

Shahirul Syafiq Shaharin@Hassan, 31, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Tertuduh didakwa telah memiliki dan menggunakan pelbagai lambang, logo, cop serta gelaran yang tidak diiktiraf untuk kegunaan sendiri di sebuah rumah di Jalan Sultan Azlan Shah Ipoh kira-kira jam 11.45 pagi pada 30 Mac lalu.

Dia melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 yang membawa hukuman denda RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap Shahirul Syafiq dilaksanakan dari tarikh ditangkap.