SEPANG - Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman denda RM890,000 ke atas sebuah syarikat logistik kerana membenarkan  seramai 178 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) pelbagai warganegara masuk dan tinggal di premis syarikat tersebut.

Hakim Saifulakmal Mod Said menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat LF Logistic Services (M) Sdn. Bhd yang diwakili pengarahnya Beh Siang Mui, 45, mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E(6) Akta Imigresen 1959/63.

Mahkamah turut memerintahkan pengarah syarikat itu menjalani hukuman penjara 36 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, syarikat logistik berkenaan telah didakwa di bawah Seksyen 55B(5) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil kerja warga asing yang tidak memiliki pas yang sah.

Walau bagaimanapun pertuduhan pilihan telah ditawarkan oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen 55E(6) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan masuk dan tinggal seramai 102 orang warganegara asing yang melakukan kesalahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Seramai 39 orang warganegara asing yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 37 orang warganegara asing melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sekiranya didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi setiap warga asing yang dijumpai di premis syarikat.

Tertuduh yang diwakili oleh Peguambela Tuan Sheikh Salem dan Tuan Sreekant Pillay mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan.

Terdahulu, dalam sesi mitigasi, peguam tertuduh memohon denda minimum dengan mengambil kira  kesalahan pertama selain mendakwa pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh syarikat bagi memastikan sistem kawalan dan keselamatan  syarikat.

Menurut peguam itu antara langkah-langkah yang diambil adalah dengan mewujudkan sistem data biometrik pekerja serta pelawat yang keluar masuk premis yang telah menelan belanja melebihi RM150,000.

"Sistem ini  merekodkan data butiran permit dan pasport setiap pekerja yang dibekalkan oleh pihak ketiga.

"Sistem ini diwujudkan dengan mendapatkan konsultasi daripada Jabatan Imigresen Malaysia," hujah peguam itu.

Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Negeri Selangor, Pegawai Imigresen Kanan, Mohd Amirulhasif Abu Bakar bagaimanapun  memohon hukuman yang berat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan oleh Syarikat ini telah berlaku pada tahun 2017.

Tambahnya, syarikat berkenaan memohon untuk ditawarkan kompaun namun gagal membayarnya sehinggalah kes ini didakwa di Mahkamah.

Selain itu pihak pendakwa turut berhujah, hukuman yang dijatuhkan perlu juga mengambil mengambil kira kos dan masa Jabatan Imigresen Malaysia serta  Mahkamah dalam menjalankan prosiding ini kerana proses pendakwaan Mahkamah telah berlarutan selama 4 bulan serta jumlah warga asing  yang terlibat adalah seramai 178 orang.