PETALING JAYA - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah  di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan  menyamar sebagai penjawat awam.

M V Sivalingam, 54,  yang kini bekerja sebagai pengutip hutang bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada warga Bangladesh, Syed Sumon.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu  di Restoran Kayu Manis, USJ 19, Subang Jaya, di sini, pada 2 petang, 3 Julai lalu mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik semasa siasatan.

"Anak guam saya hanya melakukan kerjanya sebagai pengutip hutang selain menafikan sekeras-kerasnya pertuduhan tersebut. Mohon mahkamah memberikan peluang untuk anak guam saya menjelaskan perkara sebenar," kata peguam itu.

Majistret Nor Ariffin Hisham membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Oktober untuk sebutan semula kes. –Bernama