KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini selepas mengaku salah mencederakan adik perempuannya.

Keputusan itu diputuskan Majistret Abdul Hayyi Salim terhadap tertuduh, Ahmad Iswardi Md Sarif @ Ismail, 29, dari Kampung Duyong Besar, di sini, selepas faham pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduh, Ahmad Iswardi dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Noratika Md Sarif@ Ismail, 21, di sebuah rumah di Kampung Duyong Besar kira-kira jam 8.30 malam, 2 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sebelum insiden itu, mangsa lihat abangnya iaitu tertuduh mengamuk dan bersikap kasar dengan ibu mereka untuk meminta wang sebelum bertindak menegur tertuduh kerana bersikap kurang sopan.

Tertuduh bengang dan memarahi mangsa kerana menganggap tidak menghormati dirinya sebagai abang sebelum bertindak memukul dan menendang gadis itu menggunakan kaki serta tangannya dan terkena di bahagian dahi mangsa.

Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan iaitu di bahagian muka serta dahi sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis dan tertuduh ditahan di rumah mereka kira-kira jam 3 petang keesokan harinya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Abang tampar, tendang adik ditahan]