PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan pada Isnin  mengenai kesahihan pelantikan bekas dua hakim tertinggi sebagai hakim tambahan.

Farez Jinnah, peguam mewakili Badan Peguam Malaysia berkata beliau menerima surat pada 14 September daripada pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan tarikh tersebut.

Minggu lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Hasan Lah meminta semua pihak dalam perkara itu memberi pendapat sama ada mahkamah harus menyampaikan penghakimannya memandangkan Tun Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin telah melepaskan jawatan mereka, masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Pada 14 Mac tahun ini, panel menangguhkan keputusan mahkamah berhubung isu mencabar perlembagaan selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Zaharah Ibrahim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Sri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Mahkamah Tinggi membenarkan Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) untuk merujuk lima persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan 1untuk memutuskan kesahihan pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan, masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan selepas mereka mencapai umur persaraan.

Dalam saman pemula, Badan Peguam Malaysia memohon pengisytiharan bahawa nasihat Tun Arifin Zakaria sebagai Ketua Hakim Negara pada masa itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac tahun lalu bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan mengikut Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan adalah melanggar perlembagaan dan tidak sah.

Badan Peguam Malaysia juga memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Raus sebagai Ketua Hakim Negara pada 4 Ogos tahun lepas dan pelantikan Zulkefli sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 28 September tahun lepas adalah tidak sah dan batal.

Mahkamah Tinggi Kuching juga merujuk isu Persatuan Peguambela Sarawak mencabar pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan di sisi undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 Julai, tahun lepas, kerajaan terdahulu mengumumkan bahawa Raus akan kekal berkhidmat selama tiga tahun lagi bermula 4 Ogos tahun lepas sementara Zulkefli akan terus memegang jawatan selama dua tahun lagi bermula 28 Sept tahun lepas.

Raus and Zulkefli menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun tahun ini dan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan mereka pada hari berikut.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dibenar untuk mencelah sementara Persatuan Peguam-Peguam Sabah (SLS) bertindak sebagai “amicus curiae” (sahabat mahkamah) sementara peguam mewakili Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibenar bertindak sebagai peguam pemerhati. – Bernama