KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap seorang lelaki kerana mengugut mahu mencederakan ayah kandungnya, pada 30 Ogos lalu.

Tertuduh, Ahmad Rizuan Nordin, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku salah atas dua pertuduhan dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menggunakan api iaitu membakar dua buah sofa dan permaidani di ruang tamu rumah milik mangsa, Nordin Sulong, 62, dengan niat untuk menyebabkan kerosakan harta benda.

Ahmad Ridzuan didakwa melakukan kesalahan di sebuah rumah di Lorong Haji Da, Batu Buruk, di sini, lebih kurang jam 5 pagi, pada 30 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tempoh 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Ahmad Ridzuan didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan niat menimbulkan rasa takut.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan di lokasi, waktu dan hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli dihadapan Hakim Rofiah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan salah direkodkan, Rofiah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan tiga tahun penjara untuk pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, Rofiah memerintahkan kesemua hukuman berjalan secara serentak.