PETALING JAYA - Seorang kontraktor hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memukul isteri pertamanya menggunakan tali pinggang, bulan lepas.

Azwardibin Zaidi, 32, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Nurul Nadia Mohammad Salleh, 29, dengan memukul menggunakan tali pinggang dan menyebabkan kecederaan pada bahagian badan wanita itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan bapa lima anak itu di sebuah rumah di Kampung Lindungan, di sini, pada 2.30 petang, 26 Ogos lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan namun pihaknya menyerahkan jumlah jaminan atas budi bicara mahkamah sekiranya ia dibenarkan.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Azwardibin memohon anak guamnya diberi jaminan yang minimum atas alasan tertuduh masih perlu menanggung keluarga termasuk lima orang anaknya selain telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Buat pengetahuan mahkamah, anak guam saya tidak lagi tinggal bersama isteri pertamanya dan pada hari ini isteri keduanya hadir ke mahkamah untuk menjaminnya,” katanya.

Hakim Hilmiah Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.- Bernama