KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menarik balik samannya terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, Datin Seri Rosmah Mansor dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi mendapat perintah supaya Rosmah memulangkan set rantai leher termasuk berlian merah jambu 22 karat bernilai  AS$27.3 juta yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.

Khairuddin juga menarik balik samannya terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan melanggar angkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong berkenaan isu RM2.6 bilion.

Peguam Yazid Mustaqim Roslan yang mewakili Rosmah dan Najib berkata kesemua pihak  bersetuju dengan cadangan plaintif (Khairuddin) untuk menarik balik kedua-dua saman itu tanpa kos.

“Mahkamah kemudiannya membatalkan saman itu,” katanya selepas kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut dihadiri peguam Damien Chan yang mewakili Khairuddin.

Pada 16 Ogos 2017, Khairuddin memfailkan saman terhadap Jho Low, Rosmah dan 1MDB dan  mendakwa antara Jun 2013 hingga Mac 2014, Jho Low menerusi ejennya telah membeli set barang kemas itu daripada peniaga barang kemas, New York Lorraine dengan nilai US$27.3 juta menggunakan wang yang diambil daripada 1MDB.

Khairuddin juga mendakwa barang kemas berkenaan, dalam bentuk berlian berwarna merah jambu  bernilai US$23 juta dan rantai leher bernilai AS$4.3 juta, diterima Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.

Beliau memohon  perintah mahkamah agar Rosmah mengembalikan barang kemas berkenaan kepada 1MDB dan Jho Low membayar jumlah wang yang didakwa  diambil daripada 1MDB, di samping ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Pada September 2017, Khairuddin menyaman bekas perdana menteri dan timbalannya kerana didakwa melanggar sumpah mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengelirukan orang ramai berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion.

Beliau memohon  pengisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Zahid telah melanggar sumpah mereka di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tidak layak memegang jawatan masing-masing atau mana-mana kedudukan dalam kabinet.

Khairuddin mendakwa beliau mempunyai locus standi untuk memulakan saman tersebut demi kepentingan awam. - Bernama