KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara empat tahun ke atas seorang tukang jahit wanita yang juga saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, kerana memberi keterangan palsu kepada mahkamah, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusof membuat keputusan itu selepas menolak rayuan S.Yogeswari, 39,  selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret pada 24 Nov 2017 selepas didapati bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata secara keseluruhannya Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki tidak terkilaf semasa menjatuhkan hukuman itu kerana ia berpatutan, munasabah dan berdasarkan prinsip undang-undang.

"Walaupun ia adalah kesalahan pertama perayu, tetapi ia adalah kesalahan yang serius kerana ia mencemarkan keadilan mahkamah termasuk berisiko dan melibatkan kepentingan awam.

"Berkaitan dengan isu bahasa iaitu bahasa Melayu dan Tamil yang dibangkitkan perayu, mahkamah berpendapat perkara itu tidak menjadi masalah selagi perayu memahami apa yang hendak disampaikan semasa memberi keterangan," katanya.

Yogeswari yang berada di kandang tertuduh dilihat menangis teresak-esak ketika hakim mengekalkan hukuman penjara itu dan selepas memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini .

Hakim itu kemudiannya mengarahkan perayu dihantar terus ke Penjara Kajang. Beliau membuat perintah itu selepas menolak permohonan peguam Sheelan Arjunan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman  sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Beliau memerintahkan peguam itu  membuat permohonan rasmi bagi penangguhan hukuman di Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM13,000 oleh Mahkamah Majistret sementara   rayuannya selesai dan hari ini Mahkamah Tinggi memerintahkan wang itu dipulangkan kepadanya selepas mengarahkannya menjalani hukuman penjara itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Izzat Fauzan mewakili pihak pendakwaan.

Pada 24 November tahun lepas, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Yogeswari selepas didapati bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu kepada mahkamah.

Yogeswari, didapati bersalah memberi keterangan palsu semasa memberi keterangan sebagai saksi dalam prosiding perbicaraan jenayah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah seperti dalam Lampiran B (Lampiran keterangan palsu) yang dia (Yogeswari) mengetahui keterangannya adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi 1, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada 11 pagi, 27 September 2016 mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Lampiran B itu merujuk kepada keterangan Yogeswari mengenai kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bernombor PEP 1135 miliknya yang didakwa digunakan untuk melanggar kenderaan dipandu Kevin Morais.

Dalam keterangannya sebelum ini, wanita itu memberitahu mahkamah bahawa pada 2 Ogos 2015 sehingga 11 September 2015, kenderaan itu ada bersamanya pada setiap malam, pada tarikh-tarikh berkenaan.

Keterangan itu bercanggah dengan keterangan yang diberikannya kepada Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah, Inspektor M.Vasu pada 27 September 2015 iaitu kenderaan itu tidak ada bersamanya tetapi seorang lelaki bernama Selvam menyimpan kenderaan itu sepanjang masa pada tarikh-tarikh berkenaan. - Bernama