KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berusia 33 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian tetak menggunakan parang di sebuah dusun durian di Manir, Khamis lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Rosila Nik bermula hari ini sehingga 29 Julai.

Lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Terdahulu, lelaki berkenaan ditahan sepasukan polis di sebuah rumah di Manir, semalam kira-kira jam 11.50 malam selepas menerima laporan mengenai kejadian itu yang dibuat di Balai Polis Manir.

Semalam, Sinar Harian melaporkan tentang seorang lelaki mengalami patah tangan selepas diserang tiga individu tidak dikenali kerana disyaki mencuri durian dalam kejadian di sebuah dusun di Manir.

Dalam kejadian kira-kira jam tiga pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun difahamkan pergi ke dusun durian berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang mengaku dusun berkenaan milik keluarganya.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki tidak dikenali yang mana dua daripadanya didakwa menetak tangan mangsa menggunakan parang manakala seorang lagi didakwa memukul mangsa menggunakan kayu.

Ketiga-tiga suspek difahamkan bertindak sedemikian kerana bengang dusun itu sudah beberapa kali diceroboh.