KUALA LUMPUR -  Seorang kerani, tiga anggota keluarga dan lima rakannya didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah dan membantu mengalihkan wang milik sebuah syarikat sekuriti berjumlah lebih RM6.5 juta.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A.Raof.

Di Mahkamah Sesyen di hadapan Suzana, V. Lavanyah, 26, kerani di syarikat sekuriti itu didakwa atas empat pertuduhan iaitu sebagai seorang pekerja Syarikat Golden Eagle Security Services Sdn Bhd yang diamanahkan dengan wang syarikat berjumlah keseluruhan RM3,566,682 telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan wang itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di syarikat berkenaan di Taman Pandan Perdana, di sini antara 7 Ogos 2015 dan 19 Disember 2015 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan wang jaminan RM2 juta bagi kesemua pertuduhan namun mahkamah membenarkan Lavanyah diikat jamin RM200,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Okt ini untuk sebutan semula kes dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman pada hari Isnin pertama setiap bulan.

Di Mahkamah Majistret, di hadapan Mohamad Firdaus, bapa Lavanyah, A. Vijakumar, 56, seorang pemandu di sebuah kedutaan didakwa atas tiga pertuduhan iaitu dengan curangnya membantu mengalihkan wang milik syarikat itu yang telah menyebabkan S.Dev Anand, 46, pengarah syarikat sekuriti itu mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM580,000.

Turut didakwa di mahkamah sama ialah tiga rakan Lavanyah iaitu R.Letchumanan, 34, yang berdepan empat pertuduhan serupa membabitkan kerugian RM763,700, R.Malarvilly, 29, empat pertuduhan membabitkan kerugian RM437,226 dan J.Darshinii, 26, yang berdepan satu pertuduhan membabitkan kerugian RM23,000.

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Hong Leong Bank, Pandan Perdana di sini antara 18 September 2015 dan 8 Januari 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Letchumanan dan Malarvilly masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan manakala Darshinii diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mohamad Firdaus memerintahkan keempat-empat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan tarikh sebutan yang sama dengan kes Lavanyah.

Sementara itu, di satu lagi Mahkamah Majistret, di hadapan Haslinda, ibu Lavanyah, P.Pusparany, 53, seorang suri rumah dan adik lelaki Lavanyah, V. Lingeswaran, 20, seorang pelajar kolej masing-masing didakwa atas empat dan dua pertuduhan serupa membabitkan jumlah RM675,000 dan RM442,000.

Turut dituduh di mahkamah itu adalah dua lagi rakan Lavanyah iaitu Shahrim Mohammad Ibrahim, 36, yang berdepan satu pertuduhan membabitkan kerugian RM15,500 dan K.Perumal, 61, yang didakwa atas dua pertuduhan keseluruhan berjumlah RM50,000 yang dilakukan di Hong Leong Bank, Pandan Perdana antara 17 Oktober 2015 dan 20 Februari 2018 mengikut seksyen serupa.

Haslinda membenarkan Pusparany diikat jamin RM240,000 bagi empat pertuduhan, Lingeswaran RM20,000 bagi dua pertuduhan, Shahrim RM4,000 bagi satu pertuduhan dan Perumal diikat jamin RM18,000 untuk dua pertuduhan.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak ditetapkan untuk  sebutan  semula pada 4 Oktober.

Lavanyah dan tiga anggota keluarga diwakili Peguam Kelvinder Singh Sidhu manakala lima lagi tidak diwakili peguam. - Bernama