SHAH ALAM - Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazri Hassan yang maut pada 14 Jun lalu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tahanan reman itu turut dibuat bersama seorang lagi lelaki yang juga merupakan bekas suami kepada isteri mangsa.

"Perintah reman telah diberi oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selama tujuh hari sehingga Isnin depan," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor telah menahan kedua-dua individu terbabit dalam tangkapan berasingan awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nazri.

Katanya, tangkapan pertama kira-kira jam 1 pagi di Sepang, membabitkan lelaki berusia 43 tahun, manakala tangkapan kedua membabitkan isteri mangsa juga berusia 43 tahun di Taman Tun Dr Ismail pada jam 2.15 pagi.

Terdahulu, akhbar melaporkan Nazri, 47, maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, pada jam 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.

Laporan awal bedah siasat menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada letupan telefon pintar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kematian CEO Cradle diklasifikasi kes bunuh]

Namun, pada 6 Ogos lalu, polis mengklasifikasikan kes kematian Nazri sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta hasil laporan bedah siasat yang diperoleh.