KUALA LUMPUR - Seorang juru ukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas tuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian anak perempuan bongsunya berusia setahun lebih, bulan lepas.

Bapa berusia 34 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan yang berusia setahun enam bulan, didapati telah melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta hadapan Night Vision Lasers System (M) Sdn Bhd, No. 17, Jalan Jelatek 2, Jelatek Business Park, di sini antara 9.30 pagi dan 5.30 petang, 17 Oktober lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li  tidak menawarkan jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dibenarkan atas alasan dia menanggung isteri dan seorang anak.

“Saya bekerja sebagai juru ukur tanah dengan pendapatan RM4,000 sebulan dan menetap di Wangsa Maju,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di  Balai Polis Ampang sebulan sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 21 Dis untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, mangsa maut di dalam kereta selepas tertuduh terlupa dan meninggalkan anaknya selama lapan jam untuk pergi bekerja.

Dikatakan, pada hari kejadian, tertuduh telah membawa mangsa bersamanya berikutan tiada pengasuh pada hari tersebut. - Bernama