SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membuat laporan palsu terhadap pemandu bekas bapa mertuanya, dua tahun lalu.

Maya Ahmad Fuaad, mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang juga merupakan anak bekas pegawai kanan syarikat penerbangan itu didakwa memberi maklumat lisan yang diketahui dan dipercayai palsu kepada anggota polis untuk menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasa sah terhadap pemandu Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan terkemuka, K Mathurai Veran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Kota Damansara pada pada 30 Jun 2016.

Pendakwaan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa ASP D R Ghanthi Nathan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret P Sarulatha membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Maya, 36, diwakili peguam Elena Rashid manakala Thiru Kumar bertindak sebagai peguam pemerhati kepada Mathurai.