KUALA LUMPUR - Seorang ibu dua anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 61 keping gambar dan 51 video berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbitnya, Mei lepas.

Fauziahanim Abdullah, 51, seorang suri rumah didakwa memiliki gambar dan video itu di dalam telefon bimbitnya di laluan hadapan lif Tingkat 14, Kompleks Suria Kinrara, Blok D, Taman Kinrara, Seksyen 3, Puchong di sini pukul 4.38 petang pada 9 Mei 2018.

Fauziahanim yang bertudung kelabu dan menutup mukanya dengan topeng muka didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau boleh dilucut hak mana-mana barangan tersebut, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 22 hingga 25 April 2019 untuk perbicaraan kes itu dan 14 November untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli.

Media sebelum ini melaporkan, seorang suri rumah berumur 51 tahun ditahan kerana dipercayai merancang serangan terhadap pengundi bukan Islam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Wanita itu yang ditahan di Puchong pada 9 Mei itu turut dipercayai merancang merempuh rumah ibadat menggunakan kereta yang dimuat dengan tong gas sebagai bahan letupan. - Bernama