KUALA LUMPUR - Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki enam keping gambar dan 16 video berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dalam telefon bimbitnya, tahun lepas.

Muhamad Naseefullah@ Heawian Einie ,47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tertuduh yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis klia2, Aras 2,Ruang Ketibaan Dalam Negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang di sini pada 3.22 petang, 1 Disember 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah subseksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala Muhamad Naseefullah@ Heawian diwakili peguam Zaini Bakar.

Mahkamah menetapkan 25 September untuk sebutan semula kes. –Bernama