IPOH - Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan memalsukan dokumen membabitkan nilai RM11, 550, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Romzi Zahari,46, mengaku tidak bersalah atas 48 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid telah mengambil wang berkenaan iaitu sebahagian daripada RM349,650 peruntukan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin bagi tahun 2013 yang sepatutnya diserahkan kepada 24 penjaga murid untuk kegunaan diri sendiri.

Kesemua 24 pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi 24 pertuduhan seterusnya, bapa kepada empat anak itu didakwa telah memalsukan dokumen iaitu Borang Akuan Penerimaan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin bagi tahun 2013 ke atas murid terbabit dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan menipu.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di Pejabat Sekolah Kebangsaan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik antara Julai hingga September 2013.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin dan R Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Anuar Musa dan T Ellanggovan.

Indra Nehru kemudiannya membenarkan jaminan RM24,000 dengan syarat seorang penjamin merupakan ahli keluarga terdekat dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.