GEORGETOWN – Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Guan Eng, 58, dan Phang, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang  mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili  Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Pertuduhan  tidak boleh dibiarkan tergantung terhadap tertuduh selama tempoh yang tidak terbatas. Perlu ada penamat dalam kes ini. Saya tidak dapat bersetuju dengan pihak pendakwaan. kami tidak mengendalikan kes secara bersiri. Mesti ada noktah, tiada koma, koma, terutamanya dalam kes jenayah.

“Setelah mengkaji keseluruhan kes dan  masa yang begitu lama untuk mendapatkan keputusan, oleh itu saya perintahkan kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Sebelum beliau menyampaikan keputusan, Hadhariah berkata setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 25 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan pada Mac lepas dan kini dalam bulan September, pihak  pendakwaan memohon supaya kes itu DNAA.

“Selepas enam bulan nanti mungkin pendakwaan akan memanggil saksi  lain. Tidak wujud perkara seperti ini terutamanya dalam kes berkepentingan awam. Jika pendakwaan mohon untuk DNAA, mahkamah juga tidak boleh tutup kes,” katanya.

Sebaik sahaja mahkamah menyampaikan keputusannya, Guan Eng dan Phang dilihat saling berpelukan di dalam kandang tertuduh. Mahkamah penuh sesak dengan penyokong Lim dan anggota keluarga Phang.

Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak pendakwaan telah menerima representasi oleh kedua-dua tertuduh dan selepas meneliti, pendakwaan menarik balik pertuduhan berdasarkan tuntutan undang-undang di bawah Seksyen 254 yang mana peruntukan ini berjumlah kepada pembebasan tanpa dilepaskan,” katanya.

DNAA bermakna, pihak pendakwaan boleh meneruskan pertuduhan yang sama terhadap tertuduh.

Ramkarpal berhujah pihak pendakwaan tidak boleh menamatkan kes itu hari ini dan meneruskannya di kemudian hari oleh sebab kes itu perlu ada penamatnya.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes berkenaan dan perintah sewajarnya yang perlu dikeluarkan oleh mahkamah  adalah untuk anak guamnya dibebaskan sepenuhnya.

“Apabila pendakwaan tidak mahu meneruskan kes ini, perintah yang sewajarnya adalah untuk  tertuduh dibebaskan dan bukan DNAA,” katanya.

Sithambaram juga berkata mahkamah tidak boleh mendakwa tertuduh secara bersiri dan perlu ada penamat dalam kes itu.

“Hari ini pendakwaan memohon bagi DNAA dan dua atau tiga bulan kemudian pendakwaan boleh mengemukakan (semula) pertuduhan terhadap tertuduh dan ini akan menjadi mimpi ngeri kepada tertuduh,” katanya, dan mempersoalkan permohonan pendakwaan bagi DNAA oleh sebab mereka tidak mahu meneruskan kes itu.

Pada 30 Julai, Hadhariah menetapkan 3 September sebagai tarikh akhir bagi Jabatan Peguam Negara untuk memaklumkan kepada mahkamah keputusan representasi oleh Lim dan Phang selepas pendakwaan memaklumkan mereka memerlukan masa sebulan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah Guan Eng: 3 September keputusan representasi]