KOTA KINABALU - Empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengeluarkan lesen memandu tanpa mengikut prosedur.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Afiq Agoes selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Faliq Basiruddin.

Kesemua empat individu itu yang berumur di antara 26 dan 29 tahun ialah pegawai JPJ di cawangan Kota Belud, Kota Kinabalu, dan Tuaran.

Faliq berkata kesemua individu itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu semalam semasa hadir memberi keterangan.

“Mengikut aduan mereka turut didakwa menerima suapan,” katanya kepada pemberita selepas urusan reman itu selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 kerana mengeluarkan lesen tanpa mengikut prosedur. - Bernama