JOHOR BAHRU - Empat lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri, menculik dan mendatangkan kecederaan, Oktober lalu.

Md Ismail, 27 dan B Kamalaganthan, 31, didakwa mencuri wang tunai RM12,000 daripada seorang lelaki Bangladesh bernama Mohd Khalil di asrama pekerja dalam daerah Iskandar Puteri sekitar jam 2 pagi pada 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya turut didakwa bersama L Subramaniam, 30, dan S Sakthi Dasan, 26, kerana melarikan Mohd Khalil dan seorang lagi warga Bangladesh, Mohd Abdullah dari asrama pekerja tersebut pada waktu dan tarikh yang sama dan mengurung mangsa selama dua hari di pencawang terbengkalai di Bandar Bestari Perdana, Taman Scientex, Pasir Gudang,

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan pertuduhan terakhir, kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Khalil dan Mohd Abdullah dengan menggunakan besi di pencawang terbengkalai berkenaan pada jam 7.50 pagi, 26 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Untuk semua pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh lelaki tempatan mengaku tidak bersalah terhadap kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hajar Al manakala tiada pengakuan direkodkan terhadap Md Ismail yang berdepan tiga pertuduhan ke atasnya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 berserta seorang penjamin ke atas tertuduh bagi setiap pertuduhan dihadapi selain turut menetapkan 26 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan jurubahasa Bangladesh.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Farah Nabihah Muhamad Dan.

Terdahulu, media melaporkan Polis Johor berjaya menyelamat dua pekerja binaan warga Bangladesh selepas diculik sekumpulan lelaki yang turut menuntut wang tebusan berjumlah RM40,000 daripada keluarga mangsa.

Semua mangsa culik berjaya diselamatkan polis selepas dikurung di dalam sebuah rumah pencawang terbiar dalam kawasan belukar di Jalan Manggis 1, Bandar Bestari Perdana di sini.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil risikan, polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki tempatan termasuk dua remaja disyaki terbabit dengan kes penculikan dan pemerasan berkenaan.

Polis menerima laporan daripada rakan mangsa yang mendakwa hostel pekerja yang mereka duduki di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri dimasuki tujuh lelaki bersenjatakan parang kira-kira jam 2 pagi.