SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua lelaki warga asing selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2,083 gram dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chikanso Ansalem Okoli, 29, dari Nigeria dan Desmond Owusu, 25, dari Ghana, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 2,083 gram pada 15 Mac 2016, jam lebih kurang 11.05 di tempat letak kereta di Jalan 1/7D, Nilai Square, Putera Nilai di sini.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Chikanso yang diwakili Abdul Aziz Hamzah dan Desmond diwakili Datuk Hanif Hassan masing-masing memberitahu mahkamah yang anak guam mereka menyesal dan memohon maaf kepada Kerajaan Malaysia terhadap perbuatan dilakukan.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad berkata, kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dan subjek dadah dalam kes itu juga adalah banyak.

“Mohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.