SUNGAI PETANI – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas kesalahan membunuh rakan mereka dalam kejadian di sebuah motel dekat Jalan Cinta Sayang, Sungai Petani, 4 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada M Rinishwaran, 18, dan Sharudin Hassan Sha, 30.

Kedua-duanya dari Sungai Petani didakwa membunuh E Muniandy, 51, antara jam 6.10 petang dan 9.45 malam dalam bilik motel tersebut.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pelanggan motel ditemui mati tergantung dalam bilik air tingkat dua premis terbabit.

Difahamkan, mangsa bersama kedua-dua tertuduh masuk ke bilik motel berkenaan pada jam 6.10 petang.

Bagaimanapun, pada jam 8.10 malam, pekerja motel terdengar bunyi bising dari bilik dihuni ketiga-tiga lelaki itu disyaki berlaku pergaduhan.

Hasil pemeriksaan pekerja kemudian menemui mangsa sementara dua rakannya dipercayai sudah melarikan diri.