JOHOR BAHRU - Dua penganggur mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan melarikan diri dari tahanan lokap, minggu lalu.

Tertuduh, Nolmat Halil Abdul Jalil, 34, dan Muhammad Firdaus Irwan, 25, membuat pengakuan tersebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, R Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama didapati dengan sengaja lari dari jagaan di mana mereka ditahan dengan sah di sisi undang-undang.

Kesalahan tersebut dilakukan di lokap Balai Polis Gelang Patah, Iskandar Puteri, kira-kira jam 6.16 pagi pada 11 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh mereka ditangkap ke atas kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chan Lee Lee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Terdahulu, media melaporkan dua suspek tahanan lokap Balai Polis Gelang Patah merempuh pintu lokap sebelum melarikan diri, namun ditahan beberapa jam kemudiannya di Kuala Sedili, dekat Kota Tinggi.