JOHOR BAHRU - Mahkamah sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 ke atas peguam, Kamal Hisham Ja'afar selepas lelaki berkenaan mengaku bersalah di bawah satu pertuduhan mengikut Akta Syarikat 1965.

Kamal Hisham, 48, turut berdepan hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mohd Nasir menjatuhkan hukuman sedemikian selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah apabila diberi tawaran oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Mengikut seksyen itu, Kamal Hisham diberi tawaran mengaku salah bagi satu pertuduhan yang hukumannya paling minima iaitu denda dan tiada rekod jenayah.

Mahkamah kemudiannya dengan persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh mengambil kira keseluruhan 16 pertuduhan lain sebelum menjatuhkan hukuman berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kamal Hisham masih tidak dapat dibebaskan]

Sebelum ini, tertuduh menghadapi 17 pertuduhan membabitkan pecah amanah, aktiviti pengubahan wang haram serta Akta Syarikat 1965 dan semua kes itu mula dibicarakan pada 8 Januari 2017 selepas tertuduh tidak mengaku bersalah.

Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima permohonan maaf yang diusulkan Kamal Hisham.

Menerusi satu kenyataan, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, permohonan maaf diusulkan peguam terbabit berkenaan segala perbuatan, persuratan dan perlakuannya sama ada dengan sengaja atau tidak terhadap baginda Sultan.

Ujarnya, perkenan Tuanku Sultan itu turut diiringi dengan pengampunan kepada Kamal yang mana tidak diletakkan sebarang syarat lain.

Terdahulu, pada prosiding pagi tadi, barisan pembelaan dan ahli keluarga bekas peguam kepada kerabat Diraja Johor itu kecewa apabila tertuduh tidak dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah meskipun telah mendapat pengampunan daripada Sultan Ibrahim pada bulan lepas.

Mahkamah kemudiannya turut memutuskan perbicaraan bela diri yang dijadualkan berlangsung hari ini dan esok diteruskan.

Pihak pembelaan yang mewakili Kamal Hisham, peguam Datuk Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam Abd Aziz dan Hasan Karim turut menyatakan mahu meneruskan usaha menyelesaikan isu pembebasan Kamal Hisham termasuk bertemu Peguam Negara, Tommy Thomas.

Namun, apabila prosiding perbicaraan bela diri dimulakan pada sesi petang, Kamal Hisham telah memilih untuk mengaku salah bagi pertuduhan alternatif untuk pertuduhan kedua.

Berdasarkan kertas pertuduhan itu, tertuduh menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Syarikat Southern Ads Sdn Bhd untuk menyewakan ruang perniagaan di JB Sentral kepada sebuah syarikat yang mana dia adalah pengarah dan pemegang sham syarikat dan kemudian menyewakan semula ruang perniagaan itu kepada sebuah syarikat lain untuk mendapatkan keuntungan secara langsung antara 7 Ogos 2009 dan 31 Julai 2011.

Mengikut kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3)(b) akta sama.

Kesalahan itu memperuntuk hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, Zhafran Rahim Hamzah, Shukor Abu Bakar dan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Afif Abdullah.

Difahamkan, Kamal Hisham yang ditemani ahli keluarga membayar denda sebanyak RM30,000 di kaunter Kompleks Mahkamah di sini, dan bebas dari tahanan.

Terdahulu, tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan berada dalam tahanan selepas ditangkap di Singapura pada 2 September 2015.