SEGAMAT - Seorang bekas pemandu lori didenda sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Segamat, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan babi tanpa permit dan perakuan kesihatan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor.

Tertuduh, S Murali, 41, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan terhadap dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Salina Omar dalam kes dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Pegawai Pendakwa Veterinar negeri, Chai Seong Onn.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang membawa 45 ekor babi hidup menggunakan lori didapati gagal menunjukkan dokumen perakuan kesihatan veterinar selepas ditahan di rumah sembelih babi di Bukit Siput pada 17 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Murali yang kini bekerja sebagai nelayan gagal menunjukkan perakuan kebenaran pindah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memindahkan haiwan berkenaan yang dipindahkan daripada Selangor ke negeri ini.

Tertuduh didakwa mengikut 2(a)(¡¡¡) dan 2(a)(¡v) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Negeri Johor 2005 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 36(7) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) Akta 647 yang dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013, jika sabit kesalahan.