UALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan dipenjara 18 bulan akibat perbuatannya memiliki 13 video berkaitan kumpulan pengganas di dalam telefon bimbitnya, Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zaki Ibrahim, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah.

“Saya menyesal..menyesal sangat-sangat melakukan... (kesalahan). Saya merayu, saya ada penyakit kencing manis, darah tinggi, parkinson, saya juga ada tanggungan, ada seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU),” kata Mohd Zaki yang kelihatan sedikit menggeletar, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Hakim Azman berkata, perbuatan menyimpan video berkaitan keganasan adalah satu perbuatan serius kerana ia boleh mempengaruhi individu lain dan berharap tertuduh selepas ini tidak lagi melakukan perbuatan yang boleh menjadikannya seorang penjenayah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Februari lepas.

Tertuduh didakwa memiliki 12 buah video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan sebuah video yang berkaitan kumpulan pengganas Jund Al-Aqsa, di dalam sebuah telefon bimbit dan di dalam sebuah tablet miliknya.

Dia melakukan kesalahan itu di bilik pengawal Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pencawang TNB PPU, Jalan Permas 3/4, Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor Bahru, Johor, pada 12.30 tengahari, 27 Februari lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130JB(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak ke atas barang-barang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Di mahkamah sama, dua rakan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan niat bersama untuk melakukan suatu perbuatan pengganas, iaitu untuk melakukan serangan terhadap sebuah bangunan yang beralamat di No 1, Jalan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor, dan demi mencapai niat bersama, telah melibatkan diri dalam persediaan untuk melakukan perbuatan tersebut.

Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, 37, seorang juruteknik dan Ismadi Md Nor, @ Ismail, 30, pengawal keselamatan didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Tomyam, Majidee Corner, Jalan Kemboja, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Johor, antara 11 Disember 2017 dan 31 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan mahkamah menetapkan 28 September untuk sebutan semula kes.

Nik Muhamad Zaini diwakili peguam Sukhaimi Mashud manakala Ismadi tidak diwakili.- Bernama