ALOR SETAR - Seorang jurukimpal dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan cubaan rogol terhadap anak saudaranya berusia lapan tahun di Pokok Sena pada Jun lepas.

Bagaimanapun, lelaki berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap ketiga pertuduhan terbabit.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan itu kira-kira jam 2 petang pada 17 Jun dan jam 5 petang keesokkan harinya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah rumah di Kampung Bukit Larik, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur, bagaimanapun tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memiliki dua isteri dan empat anak merayu dibenarkan diikat jamin kerana dia hanya bekerja sebagai jurukimpal dengan upah RM60.

Hakim Azman Abu Hassan bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 7 Oktober untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen, laporan perubatan, keputusan perbicaraan bersama dan lantikan peguam.

Terdahulu, di mahkamah sesyen berasingan, tertuduh juga membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Juraidah Abbas atas pertuduhan cuba merogol kanak-kanak sama, juga di Kampung Bukit Larik, Pokok Sena, kira-kira jam 3 petang pada 16 Jun lepas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak mengalami trauma dirogol, diliwat dan dicabul selama empat hari berturut-turut oleh salah seorang ahli keluarganya dalam satu kejadian ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lepas di Pokok Sena.