PETALING JAYA - Ketua Pegawai Operasi (COO) Nationwide Express Courier Services Berhad dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan mencabul bekas kakitangannya, empat tahun lalu.

Indiraa Izwaan Mohd Yusof bagaimana pun mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa menggunakan  kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 33 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara meraba punggung sebelah kiri mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan lif Blok B, Tingkat 4, Kelana Jaya Business Centre, Jalan SS7/2, di sini antara 9.50 dan 10 pagi, pada 18 September 2014.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, Indiraa Izwaan,35, berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda serta sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes.

Indiraa Izwaan yang diwakili peguam bela, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud membayar jaminan itu.