PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 13 Sept ini untuk memberi penjelasan berhubung cabaran perlembagaan yang dikemukakan oleh Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) tentang kesahihan pelantikan dua hakim tertinggi negara sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan masing-masing selepas mencapai umur bersara.

Peguam Badan Peguam Malaysia, Farez Jinnah berkata beliau telah menerima surat melalui e-mel daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini yang memaklumkan bahawa perkara itu telah ditetapkan untuk penjelasan pada 2.30 petang pada hari berkenaan.

"Setakat ini, mahkamah tidak pula menyatakan apa yang hendak dijelaskan tetapi kami akan membantu mahkamah semampu mungkin," katanya ketika dihubungi.

Pada 14 Mac tahun ini, panel tujuh hakim yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak berkenaan, telah menunda ke satu tarikh lain untuk menyampaikan keputusan mahkamah mengenai perkara itu.

Anggota lain panel itu ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Sri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tingggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Badan Peguam  Malaysia merujuk lima persoalan perlembagaan berkaitan kesahihan pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dan masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan  selepas mereka mencapai umur persaraan wajib 66 tahun enam bulan.

Dalam saman pemula yang difailkan tahun lepas, Badan Peguam Malaysia memohon perisytiharan  bahawa nasihat Tun Arifin Zakaria selaku Ketua Hakim Negara pada masa itu, kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac tahun lepas agar Raus dan Zulkefli dilantik sebagai hakim-hakim tambahan di bawah  Artikel 122(1A) Perlembagaan Persekutuan, adalah tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah.  

Badan itu juga memohon perisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli masing-masing sebagai  Ketua Hakim Negara pada 4 Ogos tahun lepas dan Presiden Mahkamah Rayuan pada 28 Sept tahun lepas, adalah tidak sah dan batal.

Awal tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching turut merujuk kepada Mahkamah Persekutuan cabaran  undang-undang AAS terhadap pelantikan Raus dan Zulkefli itu.

Pada 7 Julai tahun lepas, kerajaan terdahulu mengumumkan bahawa Raus akan kekal memegang jawatan itu bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos tahun lepas, manakala Zulkefli kekal pada jawatan itu bagi tempoh dua tahun bermula 28 Sept, tahun lepas.

Raus dan Zulkefli mengemukakan surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun tahun ini dan Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada peletakan jawatan mereka pada 8 Jun tahun ini.

Pada 13 Jun tahun ini, Pejabat Ketua Pendaftar mengeluarkan satu kenyataan bahawa Raus dan Zulkefli akan meletak jawatan pada 31 Julai selepas menyelesaikan tugas-tugas kehakiman mereka. – Bernama