KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang lelaki mencuri basikal anak kepada seorang pegawai bank untuk menggantikan motosikalnya yang didakwa rosak mengundang padah apabila dijatuhi hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Hukuman itu diputuskan Majistret Abdul Hayyi Salim ke atas Syamsul Bahari Shafee, 35, dari Kampung Gong Penaga, di sini, selepas membuat pengakuan bersalah

Syamsul Bahari sebagai buruh binaan didakwa melupuskan basikal jenis Mongoose berwarna ungu kepunyaan anak perempuan kepada Ahmad Zulkhairil Mat Azah, 35, di tali air, Jalan Kampung Sungai, Atas Tol di sini kira-kira jam 4 petang, 4 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 8.30 malam pada 23 November lalu, pengadu sampai di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol dan mendapati basikal anak perempuannya hilang. Dia kemudian mencari basikal itu sebelum melihat Syamsul Bahari mengayuhnya.

Pengadu membuat laporan di Balai Polis Chendering pada 4 Disember lalu dan Syamsul Bahari ditangkap di tepi tali air Kampung Sungai Atas Tol dan merampas basikal dicuri kira-kira jam 4 petang.