BUKIT MERTAJAM - Bekas pembantu khas kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini selepas didakwa mencabul seorang wanita.

Mengikut kertas pertuduhan, Khor Khan Khai, 40 didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa yang berusia 31 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bangunan tingkat 3, Syarikat Engineering, Jalan Sungai Rambai, Bukit Mertajam kira-kira jam 11.15 malam pada 24 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Dianne Ningrat Nor Azahar.

Khan Khai didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Zakaria dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes.