KUALA LUMPUR - Pegawai Pilihan Raya Dun Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membatalkan saman yang dikemukakan  calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr S.Streram berhubung salah laku ketika proses penamaan calon hingga menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ini berikutan  keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Darryl Goon Siew Chye yang menolak permohonan Amino Agos dan SPR selaku defendan pertama dan kedua untuk membatalkan saman Dr Streram.

Peguam  Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili  Dr Streram  memberitahu  pemberita selepas  prosiding di dalam kamar hakim itu bahawa mahkamah membuat keputusan tersebut atas alasan kes berkenaan adalah berbeza dengan petisyen pilihan raya yang telah difailkan sebelum ini.  

“Alasan lain ialah berhubung dengan ‘klausa pengecualian’ berhubung pegawai-pegawai SPR tidak boleh secara automatik menidakkan kuasa mahkamah untuk mendengar kes misfeasance,” katanya.

Katanya mahkamah memutuskan bahawa tindakan itu (saman) bukanlah tergolong sebagai satu tindakan yang tidak boleh berjaya semasa perbicaraan dan mahkamah menetapkan 2 November untuk pengurusan kes lanjut serta memerintahkan  defendan memfailkan penyataan pembelaan sebelum atau pada tarikh itu.

Dr Streram, 63, seorang doktor bius dan anggota  PKR memfailkan saman berkenaan pada 7 Mei lepas menerusi Tetuan Haniff Khatri dengan menamakan Amino Agos dan SPR yang diwakili peguam K. Sathya sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Streram mendakwa bahawa defendan gagal menunaikan tanggungjawab di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958, yang mengakibatkan dirinya tidak dapat bertanding di kerusi Dun Rantau selepas memperoleh watikah pelantikan daripada partinya dan susulan itu, Datuk Seri Mohamad Hassan dari Barisan Nasional memenangi kerusi Dun itu tanpa bertanding.

Dalam tuntutannya juga beliau berkata telah membayar deposit sebanyak RM5,000 untuk pendaftaran pencalonannya dan RM3,000 lagi untuk deposit bahan kempen pada 25 April.

Beliau juga mendakwa bahawa pihak SPR tidak memaklumkan kepadanya bahawa pas SPR diperlukan untuk tujuan memasuki pusat penamaan calon.

Selain itu, Streram juga membuat dua laporan polis terhadap pegawai pengurus pilihan raya itu dan SPR mengikut Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan kerana mengganggu proses demokrasi berparlimen dengan tidak membenarkannya menjadi calon. - Bernama