SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan wanita dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memperdaya seorang pelanggan membabitkan pembinaan rumah banglo, dua tahun lalu.

Majistret, Mahyun Yusof membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Siti Norbaiyah Yahya, 43, atau dikenali Datuk Anggun mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahyun kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi pertuduhan pertama, manakala  bagi pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing penjara 12 bulan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan.

Berdasarkan pertuduhan, ibu tunggal itu didakwa memperdaya Nazmi Nazer, 33, dengan menyerahkan tiga cek bernilai RM50,000 yang didaftarkan atas nama Syarikat Juta Kelulut Global Sdn Bhd dari 31 Mac 2017 hingga 31 Mei 2017 kepada mangsa.

Bagaimanapun, ketiga-tiga cek yang diserahkan kepada mangsa tidak dapat ditunaikan kerana tertuduh mengarahkan pihak bank memberhentikan pembayaran tersebut.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan masing-masing pada jam 12.30 tengah hari, 4.30 petang dan 1.30 petang di Nilai didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Muhammad Azri, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz.