KUALA LUMPUR- Seramai 13 daripada 19 lelaki yang sebelum ini dituduh  menyertai kumpulan jenayah terancang, dipenjarakan lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas  mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Tertuduh berusia 19 hingga 38 tahun terbabit menukar pengakuan kepada bersalah  selepas  ditawarkan  pertuduhan pindaan berkenaan di hadapan hakim Datuk Azman Abdullah yang memerintahkan kesemua mereka menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap antara 23 Mac dan 18 Jun lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor  meminda  pertuduhan  daripada  Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 terhadap kesemua tertuduh pada prosiding hari ini yang ditetapkan sebagai pengurusan kes.

Enam lagi yang  mengaku tidak bersalah dilepas tanpa dibebaskan  setelah  pihak  pendakwaan menarik balik pertuduhan asal terhadap mereka dan keenam-enam tertuduh akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhan pindaan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, kesemua tertuduh masing-masing didakwa telah menganggotai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu ‘Geng 08’ di sekitar Kuala Lumpur antara 23 Ogos 2013 dan 28 Mac lepas.

Pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabit bersalah.

Sebelum ini kesemua mereka didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng 08’ mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Ketika rayuan, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara ringan yang bermula dari tarikh mereka ditangkap manakala Muhammad Fadzlan  pula meminta mahkamah  menjatuhkan  hukuman setimpal mengambil kira perbuatan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang adalah kesalahan serius.- Bernama