PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 12 November untuk mendengar permohonan kerajaan Malaysia bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan kerajaan sebagai defendan dalam saman RM100 juta difailkan keluarga mendiang model Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof hari ini.

Hadir pada prosiding itu ialah Peguam Kanan Persekutuan Jasmee Hameeza Jaafar, yang mewakili kerajaan dan peguam Rayveni Asogan, mewakili ibu bapa Altantuya dan dua anak lelakinya.

Shaariibuu Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman itu pada 4 Jun, 2007 mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi.

Mereka menamakan dua pegawai polis iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik  Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan dalam saman itu.

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya dan memohon pampasan termasuk tuntutan tanggungan.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006, tetapi beliau dibebaskan daripada pertuduhan itu pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos  2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Jan, 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan kerajaan dan membatalkan pembebasan mereka dan sebaliknya mendapati mereka bersalah bagi pembunuhan itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Sirul Azhar melarikan diri ke  Australia sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang disampaikan pada  2015 dan kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Australia.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan kerajaan untuk menggugurkan saman itu.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu pada 14 Mac tahun ini selepas memutuskan terdapat isu-isu yang boleh dibicarakan untuk diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. – Bernama