KLANG - Seramai 21 lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganggotai dan bergaul dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng 18’ sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, yang berusia antara 22 dan 50 tahun, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin dan Tamil di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, seramai 17 daripada mereka didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang 'Geng 18' di daerah Klang antara Januari 2015 hingga Mac tahun ini.

Mereka ialah M Tamil Maaran, S Tamilalagan, B Shanmuga Sundaram, B Anbarasan, A.Magendran, RVickneswaran, S James, S Logeswaran, S Kulamanikan, Law Tuch Wah, V Thiba, Tan Hock Hin, VThyban, S Ragu, V Murugan, M Thiagarajan dan A Mohan.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan, yang berada di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sementara itu, P Chandran Mohan, S Subithran Nair, S Satheesh dan K Biranava Birabu dituduh bergaul dengan anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng 18’ antara Januari 2015 hingga Mac tahun ini di sekitar Klang.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130Y Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.  

Dalam prosiding hari ini, tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 28 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfaida Mohd Rashidee manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus, K Nathiya dan V Ayasamy.       Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor sebelum ini berkata kesemua tertuduh yang didakwa menganggotai ‘Geng 18’ ditahan menerusi operasi Cantas Khas ‘Ops Api Reload’. - Bernama