KUALA TERENGGANU - Seramai 12 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana didakwa mengangkut 440 karton rokok seludup ditaksirkan bernilai RM352,000 dengan lori.

Bagaimanapun, tertuduh, Isa Yaakob, 44, Mohd Fauzi Ahmad, 60, Mazlan Ismail, 46, Mohd Saberi Mat Nor, 51, Mohd Razani Che Abdul Raseli, 34,  Mohamad Fakrul Azlan Afifi Mohd Suki, 23, Mohd Khairul Anuar Md Nor, 27, Mohd Hazmin Mat Husin, 34, Mohamad Fakaruddin Abd Aziz, 27, Noorsharzrien Roeffandiee Juhar, 26, Muhammad Ariff Arifin, 29 dan Mohd Nor Mat Saman, 56, mengaku tidak salah atas pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa mengangkut barangan-barang larangan itu menggunakan sebuah lori jenis Hino.

Semua rokok berkenaan adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dengan niat untuk mengelak larangan terhadap barang-barang berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pengkalan Tebing Tembah, Paka, Dungun, jam 4 pagi pada 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Abdul Hayyi Salim, menetapkan 14 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Dungun.

Mahkamah juga membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Sinar Harian sebelum ini ada melaporkan polis menahan 12 lelaki yang sedang memindahkan rokok seludup dari sebuah bot ke dalam sebuah lori dalam serbuan di Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun.

Kesemua ditahan ketika sedang asyik melakukan kerja-kerja memunggah rokok berkenaan ke dalam lori.