BERDASARKAN kepercayaan masyarakat setempat, Dewi Anjani merupakan seorang ratu di kalangan jin Islam. Tokoh lagenda ini merupakan seorang puteri raja, mempunyai sebuah kerajaan dan singgahsananya berada di Puncak Rinjani.

Apabila dia tidak mendapat restu untuk berkahwin dengan lelaki pujaannya, maka dia menghilang dan mendiami alam ghaib. Hingga saat ini, Gunung Rinjani menjadi tempat yang begitu keramat bagi masyarakat setempat. Secara turun temurun, kaum setempat menjadikannya sebagai lokasi pelbagai ritual.

Keindahan Gunung Berapi Rinjani

Nama Rinjani sudah lama terngiang di telingaku. Gunung Berapi Rinjani terletak di Pulau Lombok. Banyak yang mengatakan gunung tersebut sebagai gunung terindah di Indonesia. Gunung yang juga menjadi gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia selepas Gunung Kerinchi di Sumatera ini mempunyai banyak keistimewaan.

Mulai dari keindahan savana Sembalun yang dimilikinya yang selalu saja membuat mata terpesona, di samping sejarah panjangnya hingga terbentuk Danau Segara Anak yang begitu cantik, keramahan porter-porter Rinjani yang punya langkah seperti kuda serta kekuatan seperti badang. Akhirnya terlaksana juga impianku untuk mendaki gunung dengan sejuta pesona ini.

Tanggal 5 Mei 2017, saya berangkat ke Lombok menaiki Air Asia dengan penerbangan yang mengambil masa selama tiga jam. Setibanya di Lombok saya bertemu dengan semua ahli ekspedisi group B88outdoors yang diketuai oleh Hafiq.

Misi kali ini ditemani oleh adik saya Arief, Meon dan isterinya Afifah, Deen, Riff, Atoq dan Wan. Kami dijemput oleh Pak Supir menuju ke Bandar Mataram iaitu ibu kota Lombok yang dikenali sebagai bandar seribu masjid dan pulau sejuta maling.

Hari kedua di Lombok bermulanya pendakian kami. Pendakian ditemani oleh dua orang guide iaitu Ali dan Hasan. Manakala porter pula akan membawa barangan perkhemahan kami. Bayangkan beban yang harus dipikul mereka seberat 30kg sehingga 40kg menaiki gunung demi kelangsungan hidup.

Kami memulakan pendakian pada pukul 10 pagi. Dari basecamp Sembalun sampai ke Pos 1 mengambil masa tiga jam dengan berjalan santai. Pesona Rinjani sudah mula kelihatan dari awalnya dengan pemandangan indah ladang lembu di kaki gunung. Cuaca memang amat terik namun menyejukkan mata dengan padang rumput yang luas dan jangan lupa sapu sunblock dan pakai topi!

Sementara kami sedang bergelut untuk mendaki, bertembung pula dengan peserta yang sedang menuruni gunung dengan begitu pantas untuk ke garisan penamat bagi acara tahunan ‘Rinjani 100’ iaitu larian marathon merentasi Taman Nasional Gunung Rinjani. Terdapat 13 check point dan tempat berhenti yang harus dilewati peserta untuk tamat dalam cut oftime dalam tempoh 36 jam.

Kemudian kami sambung berjalan di padang savana indah nan panas menuju ke Pos 2. Akhirnya, 40 minit dari Pos 1 kami tiba di Pos 2. Kami berehat di sini sambil makan tengahari dengan hidangan yang dimasak oleh porter.

Selepas itu, kami meneruskan lagi perjalanan. Efek luasnya savana Sembalun membuat semua yang jauh kelihatan dekat. Awan teduh sesekali bergerak menghiasi langit di atas kepala kami. Jam 3.00 petang, kami tiba di Pos 3 Rinjani, untuk berehat sebentar dan melepaskan lelah sebelum melalui jalur yang ditunggu-tunggu iaitu Bukit Penyesalan.

Lebih kurang tujuh bukit harus didaki sebelum sampai di Pelawangan Sembalun, iaitu base camp di Gunung Rinjani. Saat pendakian di bukit penyesalan bermulalah trek tanah padat dan batu besar yang curam dan mencanak tanpa bonus sedikitpun.

Trek ini benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan fizikal kami. Inilah fatamorgana kecil yang biasanya di alami sang pendaki. Ketika ini memang terbit sedikit penyesalan yang memang bertepatan dengan namanya bukit penyesalan dengan sisa sisa tenaga yang masih berbaki sedikit.

Akhirnya pukul enam petang kami semua selamat sampai di Pelawangan Sembalun pada ketinggian 2700Mdpl! Rasa lelah setelah melewati bukit penyesalan dibayar dengan pemandangan gunung Rinjani yang tersergam indah dari lereng tapak perkhemahan kami.

7 Mei 2017, sedang kami bersiap, makanan pun sudah tersedia dihantar oleh porter terus ke dalam khemah kami sebelum mendaki. Roti bakar bersalut planta dicicah dengan teh panas terasa begitu nikmat dimakan dalam cuaca dingin di pagi hari.

Selepas mengisi perut, pada pukul 2.30 pagi bermulalah pendakian sebenar menuju ke Puncak Dewi Anjani! Trek yang dipenuhi batu kerikil kasar, debu dan berpasir merupakan cabaran terbesar yang perlu ditempuhi oleh kami.

Satu langkah naik ke atas akan melurut dua ke tiga langkah ke bawah disebabkan pasir gunung berapi. Trek pasirnya amat panjang dan cukup menyeksakan.

Dengan cuaca yang begitu sejuk dan angin yang kencang, ia benar-benar menguji mental dan fizikal para pendaki! Di sinilah pendaki akan berlawan dengan kekuatan emosi, mental dan kekuatan diri.

Semangat saya juga semakin goyah kerana terlalu penat mendaki dalam cuaca yang sejuk. Matahari terbit yang diimpikan di puncak Rinjani tidak tercapai. Hanya mampu menikmatinya di lereng gunung sambil berfikir mahu atau tidak meneruskan pendakian yang berbaki hanya 500 meter lagi.

 

Dengan nafas yang tercungap, saya juga hampir berputus asa dan memaksa sahabatku, Hafiq untuk menarik tangan supaya kaki terus melangkah ke atas untuk sampai ke puncak Rinjani.

Setelah berhempas pulas hampir lima jam pendakian, tepat pukul 7.00 pagi, saya berjaya menjejakkan kaki di Singgahsana Sang Dewi Anjani yang berketinggian 3726Mdpl.

Syukur Alhamdulillah. Matahari di ufuk timur terik memancar menampakkan keseluruhan pemandangan tasik dan gaung yang curam dikiri dan kanan kami.

Pertualangan ke Puncak Dewi Anjani ni pastinya menjadi kenangan dan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Terima kasih team B88outdoors kerana sentiasa memberikan semangat dan terima kasih juga kepada guide dan porter kerana banyak membantu kami di sepanjang pendakian ini. Semoga bertemu lagi Puncak Anjani yang dirindui.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :