ELEMENT Kuala Lumpur merupakan bangunan keempat tertinggi di Malaysia dan hotel mesra alam tertinggi di Malaysia.

Hotel yang berketinggian 275 meter ini terletak di bangunan Ilham Tower membolehkan pengunjung memandang 360 darjah panorama bandar dan sekitar Lembah Klang.

Bangunan ikonik ini diilhamkan secara terperinci oleh Foster+Partners.

Terletak di Jalan Binjai, Element Kuala Lumpur berhampiran dengan pelbagai kedutaan dan pejabat korporat. Hanya berjalan kaki anda mudah ke lokasi belibelah terkemuka Suria KLCC dan Menara Berkembar Petronas.

Lokasi hotel yang strategik menjadi nilai tambah kerana terletak berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park sekaligus memudahkan pengunjung untuk melawat kawasan tumpuan sekitar ibu kota.

Mesra Alam

Dibina dengan konsep mesra alam, Element Kuala Lumpur diiktiraf memenuhi kriteria Green Building Index (GBI).

Bangunan ini juga serba guna dengan wujudnya Galeri Ilham iaitu ruang seni awam, unit komersial dan restoran.

Marriot International Inc. memperkenalkan hotel mesra alam yang pertama di Asia Tenggara, Element Kuala Lumpur menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung melalui konsep dan keunikan tersendiri.

Hotel ini mempunyai tarikan tersendiri menerusi pendekatan mesra alam namun mengekalkan ciri-ciri moden.

Element Kuala Lumpur bakal menjadi satu mercu tanda di Asia Tenggara di bawah pengurusan pemilik IB Tower Sdn Bhd. Konsep mesra alam Element Kuala Lumpur boleh dilihat dari segi penggunaan binaannya.

Komponen reka bentuk teras jenama termasuk hujan aliran rendah, 100 peratus lantai bukan PVC, tenaga lampu LED yang cekap, adanya stesen pengecas kenderaan elektrik, air yang ditapis sempurna, bahan mesra alam seperti cat rendah VOC, kandungan permaidani mudah kitar semula dan reka bentuk bangunan yang mempunyai ciri-ciri mampan.

Kemudahan

Terdapat 252 bilik disediakan buat pengunjung, bermula dari unit studio sehingga kepada suite yang dilengkapi tiga bilik tidur.

Setiap bilik dilengkapi dengan katil Signature Heavenly® dan bilik mandi berinspirasikan spa dengan penggunaan produk mandian semula jadi.

Setiap suite dilengkapi kabinet dapur, dapur, peti sejuk dan mesin membasuh pinggan mangkuk.

Bagi menyokong kelestarian alam, air NSF yang ditapis sempurna dipasang bagi membolehkan tetamu menikmati air yang selamat dan boleh diminum terus daripada menggunakan air dari botol plastik.

Hotel ini menyediakan pelbagai kemudahan serta memberi lebih ruang peribadi kepada pengunjung supaya mereka sentiasa selesa dan santai sepanjang penginapan.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk pusat kecergasan, sewaan basikal, kolam renang, bilik mesyuarat, restoran serta kemudahan jalur lebar mudah alih (WiFi). 

Hotel ini menawarkan fasiliti lengkap 24 jam. Anda boleh meminjam basikal secara percuma untuk mengayuh meneroka kawasan sekitar hotel. Peta turut disediakan untuk memudahkan anda meneroka sambil mengayuh basikal.

Antara kemudahan lain yang disediakan ialah bilik mesyuarat seluas 162 meter persegi yang serba moden lengkap dengan wifi percuma. Kepuasan pengunjung ketika menginap dan mendapatkan perkhidmatan hotel sentiasa menjadi keutamaan.

Untuk pengalaman makan dan minum pula, Trace Restaurant & Bar menyediakan hidangan enak sepanjang hari dengan pilihan makanan sihat. Pengunjung pasti teruja berada di ketinggian 40 menyaksikan pemandangan menarik di sekitar sambil
menikmati hidangan pilihan.

Sesungguhnya, Element Kuala Lumpur menawarkan pengalaman percutian yang berbeza dan menarik buat pengunjung.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :