ROAD trip dengan motorhome pasti menjadi cita-cita bagi kebanyakan dari kita yang suka kembara. Bayangkan anda boleh berhenti dan bermalam di mana saja tempat-tempat indah umpamanya di kaki gunung mahupun di pinggir tasik. 

Keluarkan dua kerusi dan meja, sambil menikmati kopi atau teh bersama hidangan ringan bersaksikan pemandangan indah terhampar di depan mata. Teruja bukan kepalang.

Road trip ke Melaka dengan Luxe Motohomes

Bagi merasai keistimewaan motorhome, penulis berkesempatan menaikinya hingga ke Melaka. Fikir penulis cara pemanduan lebih kurang van atau lori kecil, namun anggapan penulis tersasar. Pemanduannya sama seperti memandu kereta biasa walaupun berada di laluan trafik sibuk. Transmisi automatik boleh diubah kepada manual 6 gear jika inginkan lebih kuasa dan rasa kawalan penuh. 

Perjalanan santai ketika di lebuh raya. Keadaan jalan yang rata, di tambah pula suasana dalam kabin yang selesa dan redup, sungguh mendamaikan. 

Tiba di Melaka, motorhome melalui jalan kampung yang lebih kecil dan berliku. Awalnya, penulis skeptikal dengan kemampuan Fiat Ducato ini melalui jalan kampung. Ternyata tiada masalah mendaki jalan yang curam. Difahamkan, enjin bersesaran 2.3 liter turbo diesel menghambur keupayaan 150 hp dan memiliki tork yang tinggi, memacu berat kabin keseluruhan dengan mudah. Dilengkapi juga sistem brek cakera besar di kesemua tayar untuk prestasi berhenti yang padu.

Model Benimar Mileo 313 dengan ukuran panjang 5.99m, lebar 2.3m dan tinggi 3.2m merupakan model popular di Britain. Kabin direka pasang oleh Benimar, syarikat dari Sepanyol manakala casis dan enjin oleh Fiat Ducato. 

Berehat di pantai

Tiba di Pantai Klebang sekitar jam tiga petang, matahari terik namun angin bertiup selesa. Motorhome dipandu terus dapatkan parkir di sedikit teduhan pokok ru. Semua tingkap dan ruang udara di atas motorhome dibuka. Angin pantai meniup masuk dan kami enak bersantai dalam kabin. 

Sambil itu Haffnee, CEO Wta Ventures Sdn Bhd berkongsi demo membuka kanopi di sisi motorhome. Mudah dan ringkas. Kerusi dan meja dipasang yang tersimpan dalam ruang simpanan belakang dikeluarkan dan terus tersedia lengkap untuk bersantai minum,makan atau apa saja anda fikirkan bersama rakan atau keluarga. 

Di ruang atas atap motorhome, dilengkapi panel solar sebesar meja makan kecil. Solar, seperti kita semua tahu, memberi kuasa tambahan untuk kegunaan dalam kabin. Hal ini menjimatkan penggunaan elektrik tradisional. Sia-sia jika tidak mengaplikasikan sumber yang ada.

Perjalanan seterusnya ke Tanjung Bidara Beach Resort, Melaka untuk berehat dan bermalam. Difahamkan, resort ini menyediakan kemudahan parkir motorhome, caravan dan campervan. Tersedia sumber kuasa bagi pengecasan elektrik kabin, pengisian air paip dan tandas awam bagi membersihkan sisa kumbahan.

Menurut Haffnee terdapat lima caravan parks di Malaysia. Dua di Johor (KW Caravan Park di Pontian & Desaru Caravan Park) dan tiga lagi "motorhome-friendly resorts" seperti Tanjung Bidara Beach Melaka, Umang-umang Chalet Melaka & Natasya Riverside Resort yang menyediakan fasiliti parkir, tandas untuk pembuangan sisa kumbahan.

Bermalam dalam motorhome

Pengalaman bermalam dalam motorhome memang dinantikan. Lampu kekuningan redup dipasang, terus mengingatkan penulis pada keadaan dalam bilik hotel.

Katil untuk dua orang di bahagian atas pemandu

Di atas kepala pemandu, satu ruang tidur muat untuk dua dewasa. Ruang kerusi makan dan kerja diubah menjadi katil untuk dua dewasa. Di bahagian belakang atas dan bawah pula, muat bagi seorang dewasa setiap katil. Kesemuanya cukup enam orang dewasa dalam suatu masa. Rasa selesa dan privasi walau ruang minimal. 

Ruang udara di bahagian atas memastikan udara masuk dan keluar. Setiap tingkap ada bidai privasi yang menghalang kemasukan nyamuk atau serangga jika anda ingin membuka sedikit cermin tingkap pada malam atau siang hari.

Rumah dalam kereta

Penulis sempat mandi dan masak ringkas dalam kabin. Sekadar merasai pengalaman sebenar. Ringkasnya, seumpama di rumah. Dapur tiga tungku tersedia untuk memasak. Di bawah dapur, ada ruang barbeku, sebelahnya sinki basuhan, ruang atas dan bawah kabinet dapur. Terdapat peti sejuk besar lengkap dengan ruang pembeku. Atas peti ais pula ada mesin ketuhar. 

Ruang masak selesa seperti dapur rumah.

Menariknya, penggunaan bahan api motorhome ini pada kadar menjimatkan. Mungkin kerana menggunakan diesel. Dari hari pertama perjalanan, minyak pada paras penuh dan pada ketika tiba ke Shah Alam, minyak pada bawah sedikit separuh tangki. 

Ringkasnya, ia memberi pengalaman baru. Alasan utama memiliki motorhome adalah pada nilai momen dan pengalaman percutian bersama rakan mahupun keluarga yang sungguh mengujakan. 

 

 
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :