MADINAH yang mempunyai pelbagai nama, dan ada ulama menyatakan memiliki sehingga 115 nama adalah antara dua kota suci di muka bumi yang penuh dengan keberkatan, di samping Makkah al-Mukarramah.

Selain adanya Masjid Nabawi yang memberi ganjaran pahala 1,000 kali ganda berbanding solat di masjid lain di dunia, bumi Madinah yang lebih dikenali dengan nama Madinah al-Munawwarah, juga mempunyai keistimewaan kerana keberadaan jasad kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW.

Banyak hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang kelebihan Madinah yang juga dikenali sebagai kota bercahaya, justeru menziarahi kota suci berkenaan adalah digalakkan kerana ia dapat meningkatkan ketakwaan dan persediaan umat Islam sebelum mengerjakan haji atau umrah.

Penulis bersama 19 petugas media Tabung Haji untuk membuat liputan musim haji 1438 Hijrah pada Rabu, amat terkesan apabila diberi peluang menziarahi tempat-tempat bersejarah ketika berada di bumi Madinah, yang disifatkan sebagai kota ‘pejuang’ berikutan usaha Rasulullah dan para sahabat dalam penyebaran syiar Islam.

Kumpulan petugas media dibawa menziarahi Masjid Quba’ yang merupakan masjid pertama dibangunkan Rasulullah pada 8 Rabiulawal 1 Hijrah, yang dibina berasaskan kepada takwa dan iman yang mantap.

Selain itu, petugas media juga dibawa menziarahi Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan kawasan Bukit Uhud.

Kawasan Bukit Uhud pula merupakan tapak sejarah yang mencatat detik hitam kekalahan tentera Islam di tangan tentera kafir Quraisy, dan di makam Saidina Hamzah berdekatan Bukit Uhud dikebumikan bersama 69 pejuang Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud.

Menziarahi makam syuhada Uhud juga memberi peluang kepada umat Islam mengenang sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

Berdasarkan kepada kesan-kesan sejarah yang tidak ternilai itu dan mempunyai keistimewaan yang tinggi di sisi Allah SWT, Madinah merupakan kota yang harus diziarahi oleh jemaah haji mahupun umrah.

Sebagai tetamu Allah ke Madinah, jemaah haji atau umrah perlu menghayati tempat-tempat diziarahi kerana ia dapat meningkatkan ketakwaan dengan beribadah sebanyak mungkin terutama di Masjid Nabawi, terutama di Raudhah, antara tempat yang sangat mulia dan disifatkan sebagai taman syurga.

Malah, banyak lagi tempat bersejarah di kota Madinah yang perlu dilawati oleh jemaah seperti Perkuburan Baqi,  dan mencontohi Rasulullah yang seringkali menziarahi perkuburan berkenaan serta memohon keampunan serta rahmat daripada Allah SWT kepada mereka yang dikebumikan di kawasan itu.

Justeru, jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1438 Hijrah, yang dijangka tiba di Madinah bermula 24 Julai, jangan mensia-siakan peluang mengikuti program ziarah yang diaturkan Tabung Haji di Madinah, sebelum mengerjakan Rukun Islam Kelima itu di Makkah. - Bernama


 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :