KOREA Selatan begitu sinonim dengan k-pop, k-drama dan lokasi pelancongannya.

Kerancakan negara ini dalam mempromosikan industri hiburan secara tidak langsung mendorong perkembangan dalam industri pelancongan negara tersebut.

Muzik dan drama Korea memiliki banyak penggemar di luar negera. 

Panorama indah dijadikan sebagai lokasi penggambaran mengajak pelancong luar untuk mendekati keindahan dan budaya negara ini. 

Tarikan pelancong tempatan dan luar negara

Drama Goblin menjadi kegilaan ramai malah tular bukan hanya masyarakat setempat malah hingga ke serata negara. Ia secara tidak langsung menggamit kedatangan pelancong untuk menghayati keindahan lokasi di sekitar Korea. 

Menyertai Fam Tour selama  lima hari ke Korea Selatan meliputi Incheon, Boryeong, Pyeongchang dan Seoul sesungguhnya sarat dengan panorama, budaya dan makanan yang unik dan istimewa.

Songdo Central Park, Incheon 

Bandar Incheon tidak sesibuk berbanding Seoul. Binaan bangunan pencakar langit menjadikan panaromanya begitu cantik.Ketika berada di Songdo Central Park, lokasinya sangat semula jadi kerana banyak taman yang menyegarkan dan kawasan berjalan kaki yang sesuai untuk bersantai.

Laluan di sekitar Songdo Central Park termasuk dalam Songdo Area menjadi salah satu lokasi penggambaran drama Goblin. Ia boleh dilihat di adegan episod satu ketika ibu Ji Eun Tak yang ketika itu masih mengandung dan dilanggar kereta namun diselamatkan oleh Goblin, Kim Shin.

Central Park, Tri-Bowl

Salah satu bangunan unik di Songdo, Tri-Bowl, kerana mirip tiga mangkuk yang bercantum, bangunan ini menjadi lokasi untuk pameran seni atau persembahan. Tri-Bowl mencerminkan tiga kebanggaan kota Incheon iaitu Langit (bandar), Laut (Pelabuhan) dan Tanah (area luas jaringan pengangkutan), serta wilayah Songdo, Chengna dan Yeongjong. Rekabentuknya unik umpama berdiri di atas kolam. Malah ia menjadi lokasi K-Drama bagi Legend of the Blue Sea.

Incheon Art Platform 

Incheon Art Platform terletak di Haean-dong dan terkenal kerana warisan yang terpelihara baik. Seni bina bangunan menampilkan kuno dan modern. Kompleks didirikan melalui renovasi bangunan yang dibangun pada tahun 1930-an dan 1940-an.

13 bangunan, termasuk studio, perpustakaan, pusat latihan, ruang pameran dan  pertunjukkan membentuk Art Platform diharapkan dapat berkembang menjadi sebuah muzium di masa depan. Keunikannya menjadi tarikan sebagai lokasi drama Goblin.

Incheon Jayu Park 

Jayu Park menjadi lokasi adegan ketika Ji Eun Tak bertemu secara kebetulan dengan Goblin, Kim Shin. Taman yang terletak di area pergunungan Eungbong (Eungbong-san) menawarkan pemandangan kota Incheon, pergunungan di sekitarnya, pelabuhan serta laut yang boleh dilihat dari atas puncaknya.

Cheongnaho  Lake Park, Incheon 

Adegan di episod empat ketika Goblin, Kim Shin sedang mabuk dan mengungkapkan beberapa rahsianya kepada Ji Eun Tak berlatarkan di  Cheongnaho  Lake Park. Ia satu taman awam yang popular di kalangan warga tempatan yang menawarkan pemandangan malam yang indah dengan adanya bangunan pencakar langit di sekitarnya.

Hanmi Bookstore, Incheon

Kedai buku yang terletak di Incheon ini menjadi latar bagi beberapa adegan Goblin, baik di bahagian luar juga di dalamnya. Kedai buku ini  dengan warna cat kuning terang ini menjadi tempat Goblin bertemu dengan Samshin yang kemudian membicara tentang nasib Eun Tak. Lokasi kedai ini terletak di 14-4 Geumchang-dong, Dong-gu, Incheon.

Daegwallyeong Samyang Ranch, Pyeongchang

Ladang ternakan yang mempunyai 40 tahun sejarah yang diasaskan pada tahun 1974. Ladang ini mempunyai keluasan tiga kali ganda pulau Yeouido Park di Seoul. Ladang ini turut dikenali sebagai ladang ternakan pertama semula jadi bagi lembu, kuda, kambing dan biri-biri.

Lokasi ladang ternakan ini berada pada kawasan tanah tinggi menjadikan ia kawasan yang sejuk dan selesa untuk bersiar-siar.

Turut menjadi lokasi filem (Welcome to Dongmakgol, Eye) , drama (Cinderella and Four Knights), variety (Running Man, We are Married) dan drama Goblin.

Woljeongsa Temple Fir Forest Path, Pyeongchang

Terletak di hutan timur lembah Gunung  Odaesan.Terdiri daripada 60 kuil dan 8 biara dibuat ke dalam satu kuil besar.Woljeongsa Temple telah ditubuhkan oleh Monk Ja Jang (590 ~ 658).

Menjadi lokasi drama Goblin di mana Kim Shin berjalan bersama Ji Eun Tak di sebuah jambatan yang diliputi salji dan mengakui perasaannya dengan mengatakan “Aku ingin terus hidup bersamamu“.Lokasinya di 63, Dongsan-ri, Jinbu-myeon, Pyeongchang-gun, Gangwon-do

Seoul Jungang High School

Seoul Choong Ang High School memiliki bangunan bergaya neo klasik berlokasi di sekitar area Bukchon, tepatnya di Gye-dong . Sekolah ini didirikan semasa Dinasti Joseon, ketika Jepun menyerang Korea. Sekolah ini juga dianggap sebagai landmark Bukchon. Sekolah itu turut menjadi latar drama Goblin.

Coffee Mill , Samcheong-dong 

Lokasi ini digunakan dalam drama Goblin ketika scene Grim Reaper dan Sunny. Lokasi ini ada di sekitar Bukchon Hanok Village dekat istana Gyeongbokgung.

Bukchon Hanok Village

Dikelilingi oleh Istana Gyeongbokgung, Istana Changdeokgung dan Kuil Jongmyo, Bukchon Hanok terdiri daripada ratusan rumah tradisional yang disebut 'hanok' yang menjadi kenangan ketika Dinasti Joseon. Kini, banyak dari hanok ini beroperasi sebagai pusat kebudayaan, penginapan, restoran dan rumah teh, memberikan pengunjung kesempatan untuk belajar budaya tradisional Korea. Ia juga sering menjadi lokasi drama antaranya Personal Taste lakonan Lee Min Ho.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :