SYARIKAT penerbangan Scoot memulakan jualan tiket secara rasmi untuk destinasi terbaharunya di Malaysia, iaitu Kuching dan Kuantan.

Tambahan kepada rangkaian penerbangan Scoot ini menjadikan syarikat penerbangan tersebut kini beroperasi di enam buah bandar raya di Malaysia termasuk Ipoh, Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang.

Penerbangan sulung ke Kuching dijadualkan berlepas pada 29 Oktober 2017 manakala penerbangan pertama ke Kuantan pula akan berlepas pada 2 Februari 2018. 

Scoot akan mengendalikan penerbangan harian dari S ingapura ke Kuching dan terbang tiga kali seminggu ke Kuantan.

Dua destinasi baharu ini adalah di antara lima destinasi baharu yang diumumkan pada 25 Julai bersempena dengan majlis penyempurnaan proses penggabungan Scoot-Tigerair di bawah jenama tunggal, Scoot. 

Tiga lagi destinasi lain adalah Honolulu, destinasi sulung Scoot di Amerika Syarikat, Harbin di Timur Laut China dan Palembang di Indonesia. 

Pakaian seragam baharu

Selain daripada destinasi baharu, anak kapal Scoot yang lebih mesra digelar Scootees, telah mula menggayakan rekaan pakaian seragam serba baharu dengan penampilan lebih menyegarkan, lengkap dengan ciri-ciri Scoot yang tersendiri.

Pakaian seragam terbaharu untuk anak kapal wanita menampilkan potongan menarik dengan rekaan baju tidak simetri dan garis pinggang yang lebih tinggi, manakala rekaan untuk anak kapal lelaki pula memaparkan garis sudut yang lebih menonjol bagi menyerlahkan warna kuning pada kemeja polo yang digayakan.

Kedua-dua pakaian seragam anak kapal lelaki dan wanita ini juga menampilkan keceriaan, seperti butang hitam yang disulami dengan benang kuning untuk memberikan sentuhan tersendiri kepada pakaian seragam anak kapal lelaki dan fabrik yang lebih tebal untuk memberikan keselesaan kepada Scootees agar tidak berasa sejuk semasa berkhidmat di dalam kabin. 

Pakaian seragam baharu ini merupakan permulaan baharu bagi anak kapal keduadua syarikat penerbangan ini, manakala kombinasi asas hitam dan kuning dikekalkan sebagai lambang keseronokan dan kespontanan jenama Scoot.

Sempena dengan peluasan jenamanya, Scoot juga telah menggantikan cogan kata Get Outta Here! dengan slogan baharu, Escape the Ordinary (Nikmati Yang Luar Biasa).

Scoot juga melancarkan pesawat A320 pertama dengan nama Conscious Coupling, yang dahulu dikendalikan oleh Tigerair dan kini dicat semula dengan corak warna Scoot, sebagai tanda peringatan kejayaan penggabungan di antara Scoot dan Tigerair. 

Angkatan pesawat rangkaian Tigerair sedia ada akan dicat semula secara berperingkat dan perubahan penuh wajah pesawat dijangkakan selesai menjelang pertengahan 2018.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :