MALAYSIA bukan sahaja mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa tetapi masa sama, memiliki pelbagai tempat yang indah dan menarik untuk dikunjungi.

Antara daerah yang menarik dan sesuai untuk membawa seisi keluarga datang berkunjung adalah Kuala Langat. Ia merupakan salah satu daerah yang ada di Selangor dengan keunikan serta sejarahnya yang tersendiri.

Terletak di persisiran Selat Melaka dan antara kawasan atau pekan yang ada di dalam daerah ini antaranya ialah Banting, Jugra, Morib dan Telok Datok.

Pelbagai tempat menarik di Kuala Langat yang sesuai dijadikan sebagai tempat beriadah bersama keluarga pada musim cuti atau pun hujung minggu.

1. Pantai Morib - Destinasi pantai peranginan yang popular di Banting. Pantai morib ini terbahagi kepada dua yang dikenali di kalangan orang setempat dengan nama Morib Baru dan Morib Lama yang mana kedua-dua terletak bersebelahan.

2. Gold Coast Morib Resort - Salah sebuah resort yang popular kerana mempunyai taman tema air khas untuk pengunjung. Taman tema ini sesuai untuk kanak-kanak kerana mempunyai beberapa kolan dan gelongsor air.

3. Pantai Kelanang - Pantai ini terletak tidak jauh dari Pantai Morib. Kelebihannya adalah pasirnya yang lebih putih dan ia lebih sesuai untuk bersiar-siar dan ambil angin sahaja.

4. Pantai Tanjung Rhu - Pantai ini tidak mempunyai kemudahan seperti dataran berbatu dan tempat rehat seperti pantai Morib dan Kelanang. Ia lebih sesuai sekiranya pengunjung sekadar ‘lepak-lepak’ sambil menikmati angin pantai.

5. Pulau Carey - Destinasi ini tertumpu kepada alam semula jadi selain memiliki tarikan untuk lokasi perkhemahan. Kawasan ini juga penuh dengan ladang kelapa sawit yang merupakan kawasan perusahaan persendirian.

6. Bukit Jugra - Destinasi yang menawarkan pemandangan yang menarik di puncaknya. Bukit Jugra juga terkenal sebagai tapak untuk sukan udara paragliding.

7. Rumah Api Bukit Jugra - Merupakan menara konkrit bewarna putih yang telah dibina sejak tahun 1976 lagi. Rumah api ini menghadap ke arah laut Selat Melaka dan memainkan peranan penting sebagai rujukan geografi untuk kapal di lautan.

8. Balai Cerap Bukit Jugra - Bukit Jugra juga terdapat balai cerap yang sering digunakan secara rasmi untuk melihat anak bulan terutamanya pada bulan Ramadan. Malah, balai ini juga menjadi lokasi untuk latihan ilmu falak menerusi kursus-kursus falak syarie khususnya untuk Negeri Selangor.

9. Muzium - Bangunan muzium ini terletak hanya 50 meter dari Pengkalan batu Hampar dan dahulunya merupakan sebuah balai polis atau juga dikenali sebagai rumah pasung.

Namun kini dibangunkan oleh kerajaan Selangor sebagai sebuah muzium yang mempamerkan beberapa artifak sejarah seperti penjara, balai pameran, perigi lama dan perisai jenis GMC 15 CWT yang dahulunya digunakan oleh Polis Persekutuan Tanah Melayu ketika zaman darurat (1948-1960).

10. Masjid Bandar (Masjid Diraja Sultan Alaeddin Shah) - Masjid yang sangat unik terletak di Kampung Bandar dan hanya 200 meter dari Istana Temasya. Masjid lama ini dibina pada tahun 1905 dan binaannya dipengaruhi oleh kerajaan Deli di Medan.

11. Ladang Teh Boh Bukit Cheeding - Terletak di Kampung Sri Cheeding dan di sini juga terdapat kilang pembungkusan teh yang diusahakan oleh Boh Plantation Sdn Bhd.

12. Paya Indah Wetland - Untuk mereka yang gemarkan aktiviti eko pelancongan kerana terdapat aktiviti menarik melihat burung liar, berkayak, berbasikal, ‘jungle tracking’ dan sebagainya.

13. Perahu Layar - Terletak di kampung Batu Laut. Setiap hujung minggu terdapat sesi yang dibuka kepada orang ramai yang diajar oleh tenaga profesional tentang cara bermain sukan perahu layar.

14. Paragliding -  Pengunjung berpeluang untuk mencuba aktiviti ini di Bukit Jugra.

15. Kerepek - Banting terkenal dengan kerepak yang pelbagai aneka. Terdapat beberapa kilang kerepek yang diusahakan oleh orang tempatan dan menjadi pembekal kerepek utama di seluruh Malaysia.

Sumber : caridestinasi.com

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :