• Latifah Omar Latifah Omar
1 /

[Dikemaskini] SENIWATI Latifah Omar dilaporkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang tadi.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser.

Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital.

Berita kematian tersebut disahkan Presiden Seniman, Zed Zaidi yang dihubungi Sinar Harian Online.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke HUKM, Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Islam Kampung baru namun dipindahkan ke HUKM ekoran kos perubatan terlalu tinggi.

“Beliau dipindahkan ke HUKM kerana kos terlalu tinggi. Beliau sudah menjalani dua pembedahan dan disahkan meninggal jam 6.19 petang, tadi,” katanya.

Zed Zaidi juga memberitahu, pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof turut mengiringi jenazah Latifah Omar untuk dibawa pulang.

“Datuk Mustafa Maarof berusaha membawa dan ingin mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Ampang.

“Jenazah akan dikebumikan esok pagi,” katanya.

Turut disemadikan di tanah perkuburan itu termasuklah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan beberapa seniman serta seniwati lain.