PENJUALAN Grand Plaza Serviced Apartments di London merupakan antara inisiatif penyusunan semula aset-aset dan langkah penstrukturan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, keputusan itu juga dilakukan susulan keputusan Felda untuk menjual aset-aset yang tidak berkaitan dengan operasi teras agensi pembangunan itu.

“Saya yakin bahawa penjualan hotel ini adalah sejajar dengan hala tuju Felda untuk ‘balik asal’ dan akan memberi impak yang positif kepada kewangan Felda.

"Ini juga dapat membantu Felda untuk fokus kepada pengurusan ladang peneroka bagi memastikan pendapatan peneroka yang tinggi, sekali gus memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka terbela,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 54 pihak menyatakan minat untuk membeli Grand Plaza Serviced Apartments dan proses penjualan sedang dalam peringkat akhir, dengan Felda perlu meneliti tawaran yang baik dan munasabah.

Hotel itu dibeli menerusi hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd pada 2012, menggunakan dana dalaman.