BERMULA sebagai komuniti Kucing Terbiar & Anjing Jalanan (KTAJ) yang ditubuhkan pada Mac lepas, melibatkan penyertaan sekumpulan kecil golongan belia yang menyayangi dan mengambil berat isu-su yang menimpa haiwan.

Namun begitu, setiap ahli komuniti ini mempunyai minat yang mendalam dan misi untuk membantu serta menyelamatkan haiwan jalanan ini cukup tinggi, maka satu laman sosial telah diwujudkan di Facebook dengan nama KTAJ.

Pengasas KTAJ, Suzana Sulaiman berkata, KTAJ kemudiannya telah  bergabung dengan Malaysian Cats Care Project (MCCP) dan kedua-dua organisasi ini telah dinamakan sebagai Stray Cats And Treatment Community Help (Scratch).

“KTAJ-Scratch adalah sebuah komuniti oleh sekumpulan sukarelawan yang berkongsi minat dan saling membantu sesama ahli dalam menyelamatkan dan mengurangkan populasi haiwan jalanan.

“Komuniti ini terdiri daripada 30 ahli berdaftar yang bergerak aktif dan golongan sasaran sebagai rekrut ialah pencinta haiwan yang berumur 21 tahun ke atas dan menyokong pemandulan haiwan jalanan ,” katanya pada Sinar Harian.

Tambahnya, golongan sasaran ini menjadi sasaran sukarelawan KTAJ-Scratch supaya dapat menyebarkan dan menerapkan kepentingan rasa tanggungjawab dalam kalangan pemilik haiwan seterusnya memerangi kezaliman terhadap haiwan.

Matlamat utama

Suzana berkata, matlamat utama KTAJ-Scratch adalah untuk menyelamatkan kucing  jalanan, kucing terbiar dan kucing  yang dizalimi seterusnya membantu mencarikan pemilik  baru setelah dikembiri dan dirawat sehingga sembuh.

“Memandangkan tidak semua kucing ini bernasib baik dalam usaha mendapatkan pemilik baru, maka adalah penting untuk mengurangkan populasi kucing terbiar dengan menggalakkan program kembiri atau pemandulan,” jelasnya.

Menurutnya, tujuan pemandulan dilakukan adalah untuk menerapkan rasa tanggungjawab di kalangan pemilik kucing, memerangi kezaliman terhadap haiwan dan cuba membantu pusat perlindungan haiwan sedia ada dengan pelbagai bantuan.

"Kami mencuba untuk memperjuangkan nasib haiwan dengan berkempen untuk memperkukuhkan undang-undang terhadap perlindungan haiwan demi keselamatan dan kesejahteraan semua haiwan,” katanya.

Katanya, haiwan yang diselamatkan oleh orang awam dibantu menggunakan subsidi perubatan KTAJ-Scratch. Haiwan jalanan juga boleh dimandulkan dengan menggunakan Subsidi

Pemandulan Kucing Jalanan yang pihak tersebut sediakan selain memberi bantuan rawatan perubatan.

“Subsidi Pemandulan Kucing Jalanan membolehkan anda memandulkan kucing jalanan pada kadar yuran rendah di klinik haiwan yang terpilih sahaja dan ia terbuka kepada pemberi makan haiwan jalanan berpendapatan rendah, suri rumah atau pelajar,” katanya.

Tambahnya, bagi bantuan rawatan perubatan, ia adalah hanya untuk haiwan jalanan yang di selamatkan di klinik terpilih.

“Tiada bantuan yuran perubatan untuk haiwan peliharaan sendiri atau kucing yang bertuan dan maksimum bantuan diberikan menggunakan dana kami ialah RM500 sahaja untuk setiap kes,” katanya.

Jelasnya, bagi membiayai subsidi tersebut, sebanyak 30 peratus sumber kewangan KTAJ-Scratch adalah daripada sumbangan orang perseorangan dan selebihnya menerusi hasil jualan amal secara dalam talian, Charity Drive dan aktiviti lain seperti kelas gitar dan skuba.

Cari sukarelawan

Suzana berkata, KTAJ-Scratch bergerak menggunakan medium secara dalam talian. Gerak kerja komuniti ini adalah berdasarkan sukarela.

“Kami sentiasa mencari sukarelawan bagi membantu haiwan jalanan dengan ‘shout out’ di laman sosial Facebook.

“Bagi kucing yang diselamatkan dan ingin dicarikan tuan baru, kami menyediakan KTAJ Online Adoption House di laman sosial Facebook sebagai ruang pengiklanan,” katanya.

Walaupun bergerak secara dalam talian, katanya, KTAJ-Scratch banyak melakukan aktiviti menyelamat dari semasa ke semasa tanpa mengira tempat dan masa.

“Sekiranya mendapat jemputan daripada mana-mana badan atau organisasi untuk melakukan Charity Drive, sukarelawan tetap yang menggelar diri mereka sebagai Scratch-ers akan turun padang untuk mendidik orang awam tentang misi kami, mengadakan jualan untuk mengisi dana KTAJ-Scratch dan mengadakan Adoption Drive untuk mencari tuan baru kepada kucing jalanan yang telah divaksinkan dan dimandulkan,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau berhasrat untuk memperbanyakkan lagi kempen dan program pemandulan haiwan jalanan dan membantu lebih banyak haiwan jalanan dalam usaha mendapatkan pemilik baru.

“Kami juga mencuba untuk menyedarkan masyarakat bahawa tanggungjawab terhadap haiwan jalanan adalah tanggungjawab bersama dan bukanlah semata-mata tanggungjawab di rumah perlindungan atau Jabatan Veterinar sahaja,” akhirinya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan KTAJ-Scratch bolehlah melayari laman web di http://kucingterbiaranjingjalanan.blogspot.com/ atau lawati laman sosial Facebook di http://www.facebook.com/ktaj0311 atau e-mel di ktaj0311@gmail.com untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.