LEPAS satu-satu isu mencabar umat Islam ditimbulkan sejak kebelakangan ini. Tidak perlulah saya tuliskan satu persatu kerana senarainya mungkin terlalu panjang.

Sesetengah golongan merasakan, mencerca dan mempersoalkan agama Islam sudah menjadi norma yang biasa. Ini disebabkan umat Islam sudah tidak bersatu dan menghadapi pelbagai masalah.

Kebejatan dan kemunduran umat Islam ketika ini disebabkan kesilapan meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan. Umat Islam perlu melakukan anjakan paradigma bermula daripada diri sebelum dapat memperbetulkan orang lain.  

Umat Islam perlu beralih dari perspektif konvensional kepada yang lebih baik lagi, beralih daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan. Beralih daripada perdebatan yang hanya mahu mementingkan kemenangan kepada perbuatan yang membuahkan hasil serta meminggirkan sikap emosional kepada menguasai ilmu.

Umat Islam juga perlu mengalihkan tumpuan daripada tidak habis-habis bercakap tentang masalah furuq (cabang) kepada menumpukan ke arah penyelesaian masalah pokok. Beralih daripada menyusahkan kepada memudahkan, sikap jumud dan taqlid buta kepada ijtihad dan pembaharuan (pengislahan), sikap eksklusif kepada inklusif, berlebih-lebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta pendamaian.

Anjakan paradigma dalam erti kata lain melakukan penghijrahan minda dan tindakan ini amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam. Penghijrahan ini merupakan satu proses pembinaan tamadun sebagaimana qudwah ditunjukkan melalui sejarah seperti penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah dalam usaha memartabatkan agama ALLAH SWT iaitu agama Islam yang diredai. Akhirnya, Islam berkembang ke seantero pelosok dunia melalui penghijrahan yang diatur ALLAH ini.

Inilah kehebatan Islam melalui bimbingan wahyu ALLAH serta penjelasan hadis daripada Rasulullah SAW sebagai utusan ALLAH. Islam juga mempraktikkan konsep syumul dan tidak terikat asalkan ia menepati kehendak syariat Islam. Sifat Islam yang fleksibel dalam kehidupan manusia menjadikan agama suci ini memberi ruang dan peluang kepada manusia untuk mencapai kecemerlangan asalkan tidak menidakkan perintah ALLAH.

Dalam konteks dunia Melayu, Syamsul Alam MS dalam bukunya, Sistem Kebudayaan Melayu Tradisi Dan Hubungannya Dengan Konsep Islam Untuk Pembangunan Sosioekonomi menjelaskan faktor-faktor yang memundurkan peradaban Melayu seperti kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis yang membawa kepada perubahan fundamental terhadap struktur perekonomian orang Melayu; kejatuhan kuasa politik telah melemahkan ekonomi serta penguasaan perdagangan orang Islam dan diganti dengan etnik Cina yang sehingga sekarang mendominasi aktiviti perniagaan rantau ini.

Sebaliknya minat, bakat dan keahlian masyarakat Melayu Islam dalam bidang perdagangan semakin merosot sementara sifat-sifat keusahawanan seperti kreatif, inovatif dan dinamik tidak lagi membudaya dalam kehidupan orang Melayu Islam di negara kita.

Dalam konteks susur galur evolusi umat Melayu di rantau ini, perubahan yang fundamental bermula daripada sektor perdagangan (zaman kesultanan Melaka) kepada pertanian (zaman penjajahan) telah membawa impak yang besar kepada perubahan kebudayaan Melayu Islam. Perkara ini dapat dilihat daripada segi sikap, pandangan hidup orang Melayu itu sendiri. Pergantungan kepada tanah, keengganan meninggalkan kampung halaman, mengamalkan hidup sekadar sederhana mencorak pola pemikiran dan sistem nilai masyarakat Melayu Islam.

Sifat tidak peka kepada ekonomi, sistem politik dan sosial juga perlukan kepada revolusi minda dan tindakan yang lebih berani dan berpandu untuk mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa bangsa Melayu Islam begitu dimanjakan dengan kemewahan di tanah air ini.

Sudah tentu peradaban dan kecemerlangan sesuatu tamadun itu wahananya adalah ilmu. Hal ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; “Jika kamu ingin berjaya di dunia dapatkanlah dengan ilmu begitu juga di akhirat sana.”

Dengan ilmu, umat Islam mampu berfikiran terbuka dan lebih matang untuk melihat segala permasalahan yang melanda khususnya di Malaysia pada hari ini. Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja membuat sesuatu keputusan serta tindakan ia sememangnya hanya akan merugikan umat Islam. Ketirisan minda umat Islam ini akhirnya akan diambil kesempatan oleh golongan-golongan kuffar untuk menghancurkan Islam secara senyap (silent-movement) mahupun terang-terangan dari segi akidah dan akhlak umat Islam. Saya menjemput pembaca ruangan ini memikirkan bersama maksud tersirat ini dan hubungannya dengan apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MINGGU lepas Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Membaharui Un-dang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164). RUU penuh kontroversi ini pada asalnya sangat ditentang orang Islam kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak walaupun dikatakan telah diluluskan sebuah jawatankuasa dianggotai lima orang menteri Kabinet.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.