ALIRAN fikiran fiqh atau mazhab fiqh yang berlainan muncul kerana perbezaan memahami ajaran-ajaran yang terkandung dalam sumber hukum utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang tidak bersifat definitive atau qatie.

Perbezaan mentafsirkan ‘dalalah al zan’ atau dalil-dalil yang tidak muktamad menyebabkan munculnya perbezaan pandangan ini. Pendeka­tan berbeza diambil oleh imam-imam juga menyebabkan pandangan dikeluarkan itu menjadi berbeza.

Perkara demikian dapat difahami kerana pendekatan yang berlainan seperti mementingkan zahir lafaz berbanding maksud lafaz, terlalu berhati-hati atau terlalu memudahkan, terdapat juga kalimah-kalimah dalam nas-nas mempunyai beberapa makna serta keyakinan terhadap sesuatu periwayatan hadis berbanding hadis yang lain.

Sebenarnya perbezaan panda­ngan yang menjurus kepada pertumbuhan mazhab-mazhab fiqh merupakan manifestasi keanjalan undang-undang Islam itu sendiri. Namun pertikaian mazhab ini sering kali disalah ertikan oleh masyarakat umum. Ia kadangkala menjadi sumber perpecahan umat Islam.

Oleh yang demikian perspektif yang betul dalam menelusuri land­skap perbezaan pandangan ini perlu difahami oleh masyarakat Islam. Umat Islam perlu memakai lensa hukum syarak apabila berhadapan dengan perbezaan pandangan ini kerana dalam agama lain perbezaan yang ketara berlaku sehingga tidak mengakui golongan yang lain termasuk dalam agama mereka. Ia amat berbeza dalam Islam.

Umpamanya solat jemaah di Masjidil Haram ketika ini diimamkan oleh seorang imam sahaja berbanding suatu ketika dahulu solat jemaah ini dilakukan mengikut imam mazhab masing-masing di penjuru ­masing-masing. Kesepakatan ber­solat jemaah dengan seorang imam sahaja menganjak paradigma para ulama agar dapat bersatu dalam hal-hal agama yang lain.

Umat Islam sendiri sering terkeliru dengan senario ini. Tidak hairanlah kedengaran suara-suara yang bimbang dengan perpecahan ini dan mahu membebaskan umat Islam daripada pegangan mazhab.

Rasional kebimbangan ini dikatakan disebabkan mahu menyelamatkan umat ­Islam dari terus berpecah. Oleh itu mereka mahukan agama itu dilaksanakan tanpa dipateri dengan pandangan mana-mana mazhab.

Pandangan mazhab ini adalah sebahagian daripada syariah Islam bukan syariah Islam itu sebahagian daripada pandangan bermazhab. Asas pandangan aliran fiqh ini sebenarnya adalah bertitik tolak dari keyakinan imam dalam berijtihad. Namun sekiranya terbukti ijtihad tersebut tidak lagi sesuai mengikut keadaan setempat atau semasa dan terdapat dalil yang lebih kuat, maka ijtihad tersebut boleh ditolak.

Hal demikian amat jelas kerana tidak disyaratkan oleh mana-mana mazhab mengikut segala ijtihad dalam sesuatu mazhab tetapi harus berpindah ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu. Walau bagaimanapun ikutan tersebut hendaklah diasaskan kepada dalil-dalil yang menjustifikasikan seseorang itu beralih ke mazhab lain.

Ia tidak hanya dilakukan semata-mata mencari perkara yang mudah berlandaskan nafsu atau sampai membawa kepada talfiq yang dilarang.

Begitu juga ikhtilaf ulama ini tidak wajar dilihat dari perspektif perpeca­han umat Islam tetapi hendaklah dilihat dari lensa keanjalan undang-undang Islam yang membawa kepada dinamiknya hukum syarak itu yang sesuai mengikut tempat dan zaman. Ia juga melambangkan ke­luasan fakulti pemikiran ulama silam dalam ilmu fiqh yang bersungguh-sungguh menimba khazanah ilmu Islam.

Sebagai seorang peguam syarie saya melihat perbezaan pandangan ini sebagai suatu manifestasi dinamiknya undang-undang Islam. Pelbagai hujah dapat dibangkitkan di mah­kamah mengenai isu-isu tertentu tanpa perlu memperlekehkan se­suatu hujah yang berlainan.

Kecelaruan masyarakat tentang perbezaan pandangan ini berlaku kerana masyarakat awam sendiri mencampuri urusan para ulama ­dengan mempertikaikan sesuatu pandangan, memilih satu pandangan berbanding yang lain tanpa mem­punyai asas-asas ilmu perundangan Islam yang mantap.

Institusi ifta’ atau kefatwaan itu dilihat sebagai milik awam dan tidak diberikan kepada ahlinya. Inilah ­kesilapan berlaku yang mana masyarakat awam sebahagiannya men­dabik dada atas nama teknologi terkini mendakwa mampu memperoleh ilmu agama setanding dengan para ulama.

Mereka juga amat teruja ­dengan kemampuan fakulti akal dan logik. Malangnya mereka tidak menyedari bahawa hal agama tidak boleh menggunakan neraca akal dan logik semata-mata.

Dalam konteks undang-undang Islam di Malaysia, keterikatan kepada sesuatu mazhab khususnya mazhab Shafie tidaklah bersifat mutlak.

Taf­siran hukum syarak memberi keutamaan kepada pemakaian pandangan daripada mazhab Shafie tetapi pandangan mazhab-mazhab lain juga boleh diambil sekiranya keadaan memerlukan.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia