TULAR di media utama dan sosial mengenai permohonan mengadakan pesta arak yang telah ditolak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Pelbagai reaksi dizahirkan menyokong penolakan ini begitu juga ada dalam kalangan yang tidak segan-segan memanifestasikan kemarahan mereka akibat penolakan DBKL ini.

Bagi yang menyokong penolakan ini dalam kalangan orang Islam rata-ratanya meletakkan faktor agama sebagai timbangan mereka. Faktor agama ini bukanlah dikhususkan kepada agama Islam sahaja tetapi tiada satu agama pun menganjur penganutnya untuk meminum arak atau mabuk. Inilah sebabnya sehingga ada suatu pertubuhan agama bukan Islam pun dilaporkan menyokong penolakan ini.

Faktor lain yang menjadi pertimbangan juga ialah keselamatan dan kesihatan. Jika pesta yang dicadangkan ini dibenarkan apakah jaminan pengunjung tidak akan mabuk dan mengganggu keselamatan awam. Meminum minuman memabukkan juga bukanlah suatu yang baik dari sudut kesihatan.

Kalangan yang tidak bersetuju penolakan ini pula mempertikaikan keputusan tersebut atas faktor hak. Mereka juga mengatakan hak kaum minoriti dan agama minoriti terjejas dengan pengharaman ini. Malah mereka juga dengan tuntas menjelaskan pesta ini tidak dianjurkan untuk orang Islam kerana ia hanya melibatkan orang bukan Islam sahaja.

Sebagai seorang beragama Islam dan rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang berkuat kuasa saya menyokong sepenuhnya penolakan ini. Faktor agama yang disebutkan di atas menjadi tunjang kepada pendirian ini. Malah seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menjelaskan bukan sahaja meminum arak bagi orang Islam merupakan suatu kesalahan tetapi juga melibatkan perbuatan membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman yang memabukkan.

Oleh itu dapatkah pihak penganjur memberi jaminan umat Islam tidak terlibat dalam apa jua peranan yang dinyatakan dalam seksyen 19 tersebut?

Kalangan yang mendakwa terdapat penindasan kaum minoriti akibat penolakan ini juga nampaknya berselindung sekali lagi di bawah agenda hak asasi manusia. Persoalannya adakah undang-undang tidak boleh mengambil tempat bagi mengelak perlakuan jenayah atau mencegah pecah keamanan? Sudah pasti salah satu objektif undang-undang bagi menjamin keselamatan masyarakat dan disebabkan inilah penolakan tersebut dikuatkuasakan.

Penindasan terhadap hak beragama yang digembar-gemburkan sebenarnya hanyalah suatu falasi sahaja. Saya tidak dapat mencari nas-nas agama bukan Islam yang menganjurkan meminum arak secara terbuka dan berpesta. Namun sekiranya orang bukan Islam masih mahu meminum arak, minumlah di tempat persendirian atau yang diluluskan undang-undang. Tiada siapa yang akan menyekat.

Namun sekiranya peminuman arak dibuat secara besar-besaran dengan mengadakan pesta, sudah pasti ia akan memberi suatu isyarat yang negatif kepada negara khususnya Malaysia adalah sebuah negara Islam yang sangat dihormati di mata dunia. Malah kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan akan dimomokkan serta tidak diberikan erti yang sebenar.

Saya sangat musykil dengan hujahan pihak tertentu mengatakan meminum arak bukan untuk orang Islam dan oleh yang demikian orang Islam tidak perlu takut atau campur tangan dalam penganjuran pesta arak ini. Pesta tersebut tidak melibatkan orang Islam. Secara simplistik mungkin ada benarnya namun secara praktiknya sudah pasti  penganjuran pesta ini tidak dapat dijayakan tanpa peranan orang Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ironinya tidak lama dahulu apabila hangat dibahaskan isu Pindaan Akta 355, ketika kita berhujah bahawa Akta 355 ini terpakai hanyalah kepada orang Islam sebagaimana peruntukan yang sangat jelas dalam undang-undang, orang bukan Islam mengatakan bahawa walaupun disebut dengan jelas tetapi orang bukan Islam masih berhak campur tangan. Tetapi dalam isu pesta arak ini umat Islam disuruh diam sahaja kerana dikatakan tidak melibatkan orang Islam. Jelas terdapat dua parameter yang berbeza tentang pendekatan mereka.

Apa pun bagi saya kita semua perlulah menghormati undang-undang yang berkuat kuasa. Setiap hak diberikan undang-undang mempunyai hadnya. Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia kita perlu sensitif dengan persekitaran dan orang lain, khususnya yang menyentuh hal ehwal agama. Pengharaman pesta arak bukanlah bermaksud orang bukan Islam langsung tidak dibenarkan meminum arak. Kawalan hanya dikenakan bagi meminum arak di tempat terbuka secara besar-besaran.

Kawalan peminuman arak adalah suatu keperluan. Saya juga memohon agar negeri-negeri lain juga tidak memberi kebenaran pesta arak ini. Jika merokok di premis awam boleh dilarang kenapa tidak meminum arak di tempat awam?

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMATIAN bukanlah suatu yang ditunggu-tunggu kebanyakan manusia. Namun mati itu pasti. Cuma kita sebagai hamba-Nya tidak tahu bilakah malaikat maut akan datang untuk mencabut nyawa.
  • SEJAK kebelakangan ini, pelbagai pihak dengan lantang mempertikaikan fatwa dibuat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ataupun Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri.
  • BARU-baru ini dilaporkan di media, Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nadzrin Shah mempersoal nilai kewarganegaraan seorang warganegara yang tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.
  • LAZIMNYA di Malaysia, hukuman dijatuhkan kepada pesalah berdasarkan hukuman tradisi yang telah lama dilaksanakan iaitu denda, penjara dan sebatan. Hukuman-hukuman punitif tersebut perlu dilihat semula keberkesanannya dalam konteks negara ketika ini.
  • BUDI pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan masyarakat ikhlas dan amanah. Pemimpin cemerlang juga perlu menggarap diri kepada piawaian akhlak dan moral yang tinggi agar dapat diterima oleh masyarakat serta menjadi teladan kepada mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.